SHAH ALAM - Kerajaan melalui agensi berkaitan digesa mempertimbang untuk tidak memotong perkhidmatan atau mengenakan tindakan penguatkuasaan kepada pihak yang gagal melunaskan tunggakan bayaran sehingga wabak koronavirus (Covid-19) kembali reda.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, tunggakan itu termasuklah bayaran utiliti seperti air, elektrik dan ansuran rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Menurutnya, agensi berkaitan termasuklah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor, Indah Water Konsortium (IWK), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan sebagainya.
"Dalam keadaan penularan wabak Covid-19 ini dan dalam keadaan ramai yang mungkin terkesan kerana terjangkit, pengasingan (self-quarantine) atau tempat kerja ditutup. Saya percaya ramai yang mungkin hadapi kesukaran membayar bil dan sebagainya.
"Jadi, dalam keadaan yang khusus dan belum pernah kita lalui ini, saya pohon pertimbangan serius kerajaan dan juga agensi-agensi berikut agar tidak memotong perkhidmatan atau dikenakan tindakan penguatkuasaan," katanya menerusi catatan di Facebook miliknya hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, semua pihak perlu bersama-sama dalam menangani wabak yang semakin serius ini.
"Saya percaya, dengan meringankan beban yang dipikul rakyat dan dengan tahap kesiapsiagaan jentera yang mencukupi, Malaysia mampu bangkit semula," katanya.
Sementara itu, dalam catatan sama, Fahmi turut berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang bekerja keras bagi menangani wabak itu.
"Jutaan terima kasih kepada para doktor, jururawat dan semua yang berada di barisan paling hadapan dalam menangani virus ini. Andalah benteng dan hero negara," katanya.