Sinar baharu 12 beranak

Iklan
Nur Farhana kini memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga membesarkan anak-anaknya.

BUKIT BERUNTUNG - [VIDEO] Selepas kematian bekas suami dua bulan lepas, kini tanggungjawab membesarkan 11 anak terletak di bahunya.

Tanpa sebarang pendapatan, Nur Farhana G Lidadun Abdullah, 40, kembali mengambil anaknya yang ditinggalkan bersama bekas suami sejak dua tahun lalu.

Iklan
Iklan

Ada antara anaknya yang terpaksa berhenti sekolah tahun lepas selain mempunyai masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri.

Situasi itu terpaksa ditanggung Nur Farhana yang juga saudara baharu dan mahu membina kehidupan bahagia bersama anaknya-anak di Taman Kekwa di sini.

Iklan

Nur Farhana berkata, dia berasal dari Sabah berkahwin dengan Mohd Farid Narayanan Moorthy, 47, dan pasangan itu memeluk Islam pada 2009.

Menurutnya, mereka sekeluarga menetap bersama keluarga Mohd Farid di Taman Melor, Bukit Beruntung sebelum dia kembali ke negeri kelahiran pada 2017.

Iklan

"Saya tidak dapat membawa anak bersama tapi tak lama kemudian, dua anak pertama yang ada kad pengenalan datang ke Sabah untuk tinggal bersama saya.

"Pada April 2018, saya dan Mohd Farid bercerai sebelum dua bulan lepas, anak memaklumkan bapa mereka meninggal dunia ketika dalam tidur," katanya.

Nur Farhana berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Doa Selamat Keluarga Mualaf dan Shahadah Anak-anak Yatim di rumahnya, semalam.

Pada majlis tersebut, tiga anaknya melafazkan shahadah di hadapan Ustaz Sharul Razie Ab Majid dari Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan dibantu Pengerusi Hidayah Centre Hulu Selangor, Kamarul Zaman Noor Mohamed serta disaksikan tetamu, penduduk setempat dan NGO Islam.

Menurutnya, bantuan dari pelbagai pihak menguatkan kakinya melangkah membina kehidupan baharu termasuk menerima bantuan sewa rumah.

"Anak lain sudah beragama Islam secara sukarela. Saya memang tak sangka ramai yang memberi bantuan dan sokongan, ini semua rezeki anak-anak.

"Kami tak akan berpisah walau apa berlaku dan mereka juga kekuatan saya menempuh hari mendatang," katanya yang mahu menjalankan perniagaan spa di rumah sebagai sumber pendapatan tetap.

Bantuan segera

Nasib 12 beranak itu diketahui penduduk selepas kematian Mohd Farid apabila pengurusan jenazahnya dilakukan jemaah Surau Al Muhajirin dekat sini.

Ketua Biro Dakwah surau berkenaan, Abdullah Muhammad berkata, Allahyarham seorang mekanik dan jemaah surau itu.

Menurutnya, sebelum ini Allahyarham tidak pernah menceritakan kisah keluarganya walaupun sering ke surau dan berbual bersama jemaah lain.

"Selepas meninggal dunia baru kami tahu apa yang dialami keluarga terbabit maka bantuan segera disalurkan termasuk barang keperluan harian," katanya.

Presiden Persatuan Wanita Islam Prihatin (PWIP), Mashita Abdul Rahim berkata, kisah 12 beranak itu diuar-uarkan oleh seorang ahli persatuan sebelum usaha membantu digerakkan.

Menurutnya, sewa rumah yang didiami keluarga tersebut kini dibiayai seorang individu prihatin membabitkan RM750 sebulan bagi tempoh 30 bulan.

"Bantuan pakaian dan keperluan lain untuk anak Nur Farhana juga disalurkan. Difahamkan Nur Farhana boleh membuat kek, maka kami juga sediakan peralatan berkaitan untuk dijadikan sumber pendapatan," katanya.

Timbalan Ketua Biro Mualaf PWIP, ShilIa Abdul Rahman berkata, biro yang diketuai Datin Rubita Ayop bersama wakil biro kebajikan Surau Al Mujahirin, Wan Hazlina itu berjaya mengumpul dana bagi membeli kelengkapan dan perabot rumah.

"Biro ini turut mendapatkan kerjasama Mais dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk bantuan lanjut," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Hidayah Centre Hulu Selangor, Kamarul Zaman Noor Mohamed berkata, pihaknya akan menguruskan hal berkaitan dokumen pengenalan diri dan pendaftaran sekolah.

"Kita juga memainkan peranan menyantuni golongan mualaf dan menyediakan kelas agama tiga kali seminggu," katanya.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Kekwa, Ir Bashir Ahamed Maideen memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan keluarga tersebut agar kebajikan mereka terbela.