JOHOR BAHRU - Penantian warga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Tebrau untuk berpindah ke bangunan baharu akhirnya berjaya direalisasikan.
Difahamkan seramai 405 murid dan 31 guru SJKT Ladang Tebrau sudah boleh berpindah ke bangunan baharu yang lebih selesa dan kondusif pada bila-bila masa.
Exco Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Dr S Ramakrishnan berkata, segala permasalahan melibatkan SJKT Ladang Tebrau kini selesai.
Menurutnya, sekolah tersebut sudah siap kira-kira dua tahun lalu, namun masih tidak dapat diduduki dan mula beroperasi kerana kekangan beberapa masalah yang timbul.
"SJKT Ladang Tebrau iaitu salah satu sekolah yang mendapat bangunan baharu. Sekarang, semua masalah sudah selesai. Mereka boleh pindah ke sekolah baharu bila-bila masa.
"Sekolah ini merupakan antara sekolah yang mendapat bangunan baharu. Walaupun bangunan sekolah ini siap dua tahun lalu, tetapi atas beberapa sebab mereka tidak boleh berpindah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bangunan asal SJKT Ladang Tebrau, di sini, hari ini.
Ramakrishnan berkata, satu pertemuan telah diadakan pada 20 Disember 2018 melibatkan semua pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian terhadap masalah yang timbul.
"Kita berbincang dan baharu memahami apa masalah yang sebenarnya (melibatkan SJKT Ladang Tebrau). Ini selepas semua pihak berkaitan masing-masing memaklumkan apa cabaran dihadapi.
"Dan mesyuarat itu akhirnya membuka jalan ke arah penyelesaian," katanya.
Ditanya mengenai masalah dihadapi sehingga menyebabkan tidak boleh berpindah ke bangunan baharu, beliau berkata, salah satunya adalah kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Mereka kena memenuhi syarat-syarat ditetapkan khususnya membabitkan keselamatan untuk menduduki bangunan. Selepas berbincang dengan PBT, akhirnya perakuan penyiapan pematuhan (CCC) diperoleh," katanya.
Ramakrishnan berkata, sebab kedua adalah berkaitan pemilikan tanah kerana statusnya masih dimiliki sebuah syarikat di bawah kumpulan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
"Untuk pindah mereka kena jelaskan satu premium kepada kerajaan negeri. Dan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) sudah membuat permohonan. Saya juga telah membuat permohonan kepada Menteri Besar dan perkara ini sedang dipertimbangkan.
"Saya akan buat 'follow up' untuk memindahkan (status) tanah kepada LPS. Bagaimanapun, untuk berpindah ke bangunan baharu, itu tidak ada masalah. Kita sudah mendapat CCC," katanya.
Sementara itu, Guru Besar SJKT Ladang Tebrau, S Palaniamah menzahirkan rasa gembira apabila segala permasalahan berkaitan bangunan baharu sekolah itu berjaya diselesaikan.
"Saya berasa sangat gembira. Saya berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan, pihak yang bertungkus lumus tolong membantu kami berpindah ke bangunan baru khasnya YB (Ramakrishnan).
"Murid-murid dan guru-guru memang tidak sabar lagi, beriya-iya tunggu bila akan dapat satu berita yang baik untuk pindah ke sekolah. Jadi kita akan cari satu hari (ikut agama), kita buat sembahyang selepas itu kita akan pindah," katanya.