Covid-19: Ketepikan isu tak puas hati pemilihan Kabinet

Iklan
Muhyiddin pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya baru-baru ini. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Malaysia Corruption Watch (MCW) menggesa mana-mana ahli politik kerajaan baharu Perikatan Nasional mengenepikan isu ketidakpuasan hati pemilihan anggota Kabinet, sebaliknya bersatu dalam memastikan Malaysia terus stabil.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, ahli politik terutamanya pihak kerajaan didesak agar bersyukur dan fokus pada pelbagai masalah melanda negara, terutama bencana ekonomi dan wabak koronavirus (Covid-19) yang kini diisytiharkan pandemik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Malaysia tidak terkecuali dalam menghadapi kesan bencana ini ditambah pula ahli politik kerajaan baharu masih dilihat tidak habis-habis 'berpolitik'.

"Berita tentang ketidakpuasan hati pemilihan anggota kabinet dan pelbagai isu lain yang kurang penting tidak perlu diketengahkan pada saat ini.

Iklan

"Semua ahli politik diminta bersatu bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memastikan Malaysia yang stabil dan terus mendapat kepercayaan para pelabur terutamanya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jais berkata, pihaknya turut mengajak semua rakyat berdoa agar pemimpin negara ini terus mendapat kesihatan baik dan keberkatan hidup serta kekuatan istimewa untuk memimpin negara ini demi kemakmuran bersama semua rakyatnya.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan beberapa pemimpin UMNO menyuarakan rasa tidak puas hati dengan pelantikan Kabinet di bawah pentadbiran Muhyiddin terutama membabitkan agihan jawatan menteri dan timbalan menteri.

Kritikan turut disuarakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mendakwa agihan jawatan dibuat Perdana Menteri sebagai tidak adil kepada UMNO.

Hari ini, Sinar Harian melaporkan jumlah kes jangkitan Covid-19 di Malaysia naik mendadak hampir 80 peratus dengan 190 kes baharu dicatatkan, menjadikan jumlah kes positif wabak itu meningkat daripada 238 kepada 428 kes.