SHAH ALAM - Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digesa menyegerakan keputusan pemilihan yang didakwa tertangguh selama sebulan melibatkan beberapa kawasan sebelum ini.
Gesaan yang dibuat melibatkan bahagian Hulu Selangor, Sungai Buloh, Kapar dan Serdang/ Bangi.
Calon Ketua Bahagian Serdang/Bangi, Arman Putera, mendakwa tiada sebarang alasan diberikan oleh JPP berhubung keputusan pemilihan.
"JPP dilihat berdiam diri dan tidak menjawab sebarang pertanyaan serta aduan yang dibuat oleh kami berkaitan dengan pemilihan itu," katanya pada sidang akhbar di Seksyen 7, hari ini.
Hadir sama ialah calon Ketua Srikandi Cawangan Hulu Selangor, Julaillah Mohamad; calon Ketua Bahagian Sungai Buloh, Wan Mohd Sufian Zainal Abidin dan calon Ketua Bahagian Kapar, Hozir Hazreeq Zainal Abidin.
Mengulas lanjut, Arman berkata, sekiranya keputusan pemilihan itu masih tertangguh bahagian terlibat tidak dapat menjadi perwakilan dalam perhimpunan agong nanti.
"Mengikut Perlembagaan parti, semua cawangan perlu selesai bersidang 60 hari sebelum Perhimpunan Agong Bersatu yang dijadualkan pada 4 Jun depan," katanya.
Tambah Arman, JPP perlu profesional menjalankan tugas dan memilih petugas yang lebih bebas dalam mengendalikan proses pemilihan parti itu.