KUALA LUMPUR - Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) melakukan rombakan struktur kepimpinan dengan melantik Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung berkuatkuasa hari ini bagi menggantikan bekas penyandangnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO menggantikan Tengku Adnan atau lebih dikenali Ku Nan yang kekal dilantik sebagai Bendahari BN.
Iklan
Iklan
"Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kekal sebagai Bendahari BN sebagaimana sebelumnya, manakala Datuk Sahfiri Ab Aziz menggantikan (Timbalan Menteri Alam Sekitar), Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad sebagai Setiausaha Eksekutif BN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid turut menegaskan BN amat mengambil berat perkembangan negara dan rakyat yang dilihat semakin terkesan akibat wabak koronavirus (Covid-19) yang mula menular di seluruh negara.
Menurutnya, rakyat seluruh negara diingatkan agar sentiasa peka dan mengikuti perkembangan yang berlaku mengenai virus itu melalui pemberitahuan sah yang hanya dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.
"Paling penting, BN mengharapkan rakyat tidak panik dengan wabak ini tetapi perlu mengambil langkah berjaga-jaga.
"Seluruh rakyat Malaysia juga dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai berita-berita palsu yang semakin kerap ditularkan melalui internet," katanya.