Lelaki meludah pada butang lif ditahan

Iklan

BAYAN LEPAS - Seorang lelaki warga emas yang meludah pada butang lif di Blok Idaman Melur, Lintang Sungai Ara 8, di sini ditahan pihak berkuasa selepas menyerah diri di Balai Polis Bayan Lepas di sini pada jam 12.50 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, tindakan tidak bermoral lelaki terbabit disedari seorang guru lelaki yang menerima satu klip video menunjukkan lelaki terbabit meludah butang lif di perumahan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, klip video yang dipercayai diambil dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lif itu diterima lelaki tersebut menerusi kumpulan WhatsApp penduduk perumahan berkenaan.

"Lelaki tersebut menerima klip video itu pada jam 11.45 pagi semalam (kelmarin) dan terus membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan dan kesihatan penduduk susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang kini melanda negara.

Iklan

"Susulan itu, kita menahan suspek di Balai Polis Bayan Lepas selepas menyerah diri tengah hari tadi (semalam). Dia mengaku terlibat dengan perbuatan tidak bermoral itu. Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi semalam.

Anbalagan berkata, suspek yang bekerja sebagai penjaga kedai snuker itu turut dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan kerana bimbang dijangkiti wabak Covid-19, bagaimanapun dia tidak menunjukkan sebarang jangkitan wabak.

Iklan

Jelasnya, ujian saringan air kencing lelaki terbabit juga negatif dan suspek tiada rekod jenayah lampau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat," katanya.