GEORGETOWN - Universiti Sains Malaysia (USM) akan menutup sementara semua kampusnya selama tiga minggu bermula esok sebagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19.
Naib canselornya, Profesor Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, penutupan itu akan dibuat secara berperingkat bermula esok sehingga 5 April nanti.
Menurutnya, semua staf Pusat Pengajian dan Pusat Akademik/Penyelidikan di semua kampus diwajibkan bekerja dari rumah mulai esok hingga 22 Mac ini bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang.
"USM juga memutuskan untuk mengadakan anjakan cuti pertengahan semester (yang asalnya 6 hingga 12 April) lebih awal kepada 30 Mac hingga 5 April. Selain itu, laluan pintu masuk dihadkan di semua kampus USM yang mana, pelawat perlu menjalani pemeriksaan keselamatan/penyaringan kesihatan di 'checkpoint' yang berdekatan pintu.
"Semua premis menjual makanan di kampus dikehendaki menyediakan makanan secara bungkusan sahaja yang boleh dibawa pulang oleh pelanggan mulai esok hingga 22 Mac ini. Semua pelanggan dilarang makan atau berada di premis tersebut sepanjang tempoh ini," katanya dalam kenyataan tadi.
Tambahnya, solat Jumaat berjemaah untuk minggu ini tidak akan dilaksanakan di Masjid AlMalik Khalid, USM.
"Semua jemaah diminta melaksanakan ibadah solat Zohor di kediaman masing-masing. Bagi solat fardu pula, buat masa ini, jemaah perlu membawa sejadah dan telekung masing-masing. Jemaah dari luar kawasan USM tidak digalakkan hadir ke masjid untuk menunaikan solat fardhu sepanjang tempoh ini.
"Masyarakat sekitar tidak dibenarkan mengunjungi premis khidmat awam seperti bank, pejabat pos dan lain-lain di dalam kampus. Perkhidmatan semua perpustakaan akan dibuka sehingga 2 petang esok dan akan ditutup sehingga diberitahu kelak," katanya.
Faisal Rafiq berkata, Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah, Galeri CEMACS dan Arkelogi juga akan ditutup kepada pengunjung bermula hari ini hingga 30 April ini.
"USM juga akan memulakan proses dekontaminasi kendiri untuk kesemua kampus secara berperingkat demi memastikan kebersihan dan keselamatan warga kampus. Semua warga kampus diharap bersabar dalam keadaan getir ini dan bersatu hati dalam mengharungi penularan wabak ini.
"Semua inisiatif ini dilaksanakan sebagai langkah berjaga-jaga dan kawalan persekitaran selama tiga minggu supaya wabak Covid-19 tidak merebak dan sebagai langkah tanggungjawab sosial, pengawalan penularan dan pengasingan sosial yang diamalkan oleh pihak universiti," katanya.