AMPANG - Dua gerai di Pasar Awam Kompleks Muhibah, di sini yang tular kerana didakwa menjual ikan kembung pada harga tidak munasabah didapati tidak beroperasi ketika pemeriksaan dijalankan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kajang, di sini, hari ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kajang Normaswari Nordin berkata, pemeriksaan oleh pihaknya pada jam 10.30 pagi tadi, menunjukkan kedua-dua gerai menjual ikan itu kosong.
Menurutnya, dua premis itu dikenal pasti di lot kedai 26 dan 72.
"Maklumat kita terima mengatakan hanya satu daripada premis itu beroperasi pada hujung minggu.
"Bagaimanapun, kita akan membuat pemeriksaan semula dalam masa terdekat bagi memastikan kesahihan info yang tular berkenaan harga ikan kembung itu," katanya.
Sinar Harian difahamkan seorang daripada pemilik gerai ikan terbabit menutup premis kerana pergi ke Thailand.
Pemilik premis itu juga dikatakan berniaga bersama isteri dan anak serta menjual sayur-sayuran selain ikan.
Terdahulu, Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi ciapan di Twitter pada Sabtu lalu memberitahu harga ikan kembung di Kompleks Muhibbah dijual pada harga RM22 sekilogram berbanding tiga minggu sebelumnya berharga RM17 sekilogram.
Susulan itu, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail membidas Najib menyatakan harga ikan kembung cuma RM11.90 satu kilogram, bukan setinggi RM22 seperti didakwa.
Saifudin memberitahu semakan dibuat menerusi aplikasi @mykpdnhep Price Catcher dan jelas harga ikan kembung tidak seperti digambarkan.
Dalam operasi sama, Normaswari berkata, pihaknya turut memeriksa lima premis lain di situ yang menjual barang basah, ayam dan daging.
Menurutnya, kesemua peniaga terlibat mematuhi peraturan dengan mempamerkan tanda harga pada barangan dijual serta alat timbang sukat juga sah.
"Bagaimanapun kita mengeluarkan lima akuan kenyataan pemeriksaan kepada peniaga dan ada peniaga yang diberi amaran supaya mengemaskini tanda harga seperti ditetapkan," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Normaswari berkata, bagi tempoh 2018 pihaknya mengambil tindakan ke atas 118 kes Akta Kawalan Harga 2011 dan Anti Pencatutan serta 32 kes di bawah Akta Timbang Sukat 1972 melibatkan keseluruhan kompaun berjumlah RM41,100.
Beliau berkata, sebanyak 621 aduan diterima berkaitan harga barangan dan alat timbangan.