Pasar raya penuh pelanggan

Iklan
Orang ramai menunggu giliran untuk membayar selepas membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya di sini malam tadi.

SUNGAI BESAR - Sebuah pasar raya di sini sesak selepas orang ramai berpusu-pusu membeli barangan keperluan harian bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan juga langkah pencegahan susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Tinjauan Sinar Harian pada jam 8.30 malam tadi mendapati orang ramai tidak putus-putus ke tempat membeli-belah tersebut bagi mendapatkan keperluan dengan jumlah yang banyak.

Iklan
Iklan

Seorang pekerja syarikat telekomunikasi di pasar raya itu, Nur Ain Mohd Noh, 22, berkata, orang ramai mula kelihatan bersesak sejak petang semalam.

"Kalau semalam (kelmarin) jumlah pengunjung tak ramai tetapi hari ini (semalam) jumlah pengunjung jauh meningkat seakan-akan esok hari raya," katanya.

Iklan

Seorang pengunjung, Dr Mohd Hisham Surgi berkata, dia yang membeli barangan keperluan untuk perniagaan kafe terkejut apabila mendapati ramai pengunjung di pasar raya itu.

"Saya pelik sebab terlalu ramai pengunjung di sini sedangkan hari ini (Isnin) bukanlah cuti hujung minggu atau musim perayaan," katanya.

Iklan

Menurutnya, dia akur apa sahaja arahan dikeluarkan kerajaan demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

"Kita patuhi apa jua keputusan yang dibuat kerajaan kerana pada waktu ini keadaan kesihatan rakyat menjadi keutamaan," kata Pengasas Kolej Pengajian Tinggi Islam (KPTI) Malaysia.

Seorang peniaga kedai runcit, Azie Borhan, 46, berkata, dia membeli barangan keperluan kerana bimbang bekalan tidak mencukupi.

"Adik saya dari Meru hubungi saya beritahu banyak barangan keperluan di kawasan bandar sudah habis. Saya risau kalau tak sempat membeli," katanya.

Seorang lagi pelanggan, Azrul Nizam Mat Khar, 34, berkata, dia membeli barangan keperluan asas sebagai persediaan terhadap sebarang kemungkinan.

Katanya, dia ke pasar raya itu bersama isterinya tidak membawa anak-anak kerana bimbang jangkitan Covid-19.

"Memang hari ini beli lebih banyak daripada biasa dan turut membeli barangan yang dikirim mentua," katanya.