KOTA KINABALU - Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri meminta pemimpin masyarakat melakukan kempen kesedaran dalam kalangan rakyat terhadap inisiatif kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, mereka khususnya perlu menasihatkan rakyat supaya menangguhkan majlis atau perhimpunan buat sementara waktu sehingga keadaan kembali pulih.
Katanya, rakyat perlu memberi kerjasama sepenuhnya dengan mematuhi arahan pelbagai agensi khususnya Kementerian Kesihatan supaya segala usaha akan membuahkan hasil.
"Keselamatan dan kepentingan rakyat menjadi keutamaan kerajaan dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memimpin seluruh pucuk pimpinan negara dan penjawat awam untuk memberi hala tuju terbaik dalam usaha menangani gejala ini.
Semalam, Perdana Menteri mengisytiharkan Malaysia akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.
ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bermula 18 Mac
Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu.
Sementara itu, Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen Kudat turut menggesa, individu terlibat dalam perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur supaya tampil segera menghubungi hospital terdekat selain mengehadkan pergerakan kerana mereka dijangkiti Covid-19 dikhuatiri akan menyebar luas virus itu.- Bernama