KUANTAN - Dua pemilik kedai jam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas tuduhan menjual jam tiruan berjenama antarabangsa pada 9 Mac lalu.
Sulriani Suliman, 40, dan Mohd Faizal Abdul Rashid, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali.
Mahkamah memerintahkan hukuman denda RM25,000 terhadap Sulriani dan 12 bulan penjara jika dia gagal membayar denda, sementara Mohd Faizal pula diperintah membayar denda RM20,000 dan dipenjarakan selama10 bulan sekiranya gagal melunaskan denda itu.
Sulriani merupakan pemilik perniagaan jam tangan mengaku memiliki jam tangan berjenama Casio iaitu model Casio sebanyak 40 unit, model Baby-G (30 unit) dan model G-Shock (422 unit) dengan menggunakan cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah di sebuah premis perniagaannya di Kuantan.
Sementara Mohd Faizal pula mengaku memiliki jam tangan berjenama Casio iaitu model Casio 75 unit dan model G-Shock 786 unit yang merupakan suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah di premis perniagaan di pusat beli-belah Giant di sini.
Kedua-dua OKS mengaku melakukan kesalahan itu di pusat perniagaan masing-masing di sekitar Kuantan pada jam 3 petang, 9 Mac lalu.
Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 100, Akta Cap Dagangan 2019 dan didakwa mengikut Seksyen 102 (1)(c) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 102 (1)(ii) akta sama.
Ia memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang dipakai dengan salah cap dagangan berdaftar atau maksimum penjara tiga tahun atau kedua-duanya, manakala RM20,000 bagi setiap barangan atau maksimum lima tahun penjara, jika didapati bersalah.
Sulriani yang tidak diwakili peguam memohon kepada mahkamah supaya mengurangkan denda terhadapnya atas alasan kesalahan pertama dilakukan.
Dia mendakwa tidak mengetahui perbuatan menjual barangan tiruan itu salah dan pembekal tidak memaklumkan perkara terbabit kepadanya.
"Saya telah mengalami kerugian besar akibat perbuatan ini dan tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang," katanya.
Mohd Faizal juga memohon agar hukuman denda dikurangkan atas alasan sama.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNHEP), Syamsul Kahar Ahmad Nadri meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal yang boleh memberi pengajaran kepada OKS dan orang awam supaya tidak menjual barangan tiruan.
Beliau berkata, tindakan kedua-dua OKS telah menyebabkan kerugian besar kepada negara dan mahkamah perlu mengambil kira faktor tersebut dalam menjatuhkan hukuman.
"Tindakan kedua-dua OKS ini juga boleh mengundang persepsi negatif kepada undang-undang negara yang gagal menjaga cap dagang mereka dan ini sudah pasti akan menjejaskan pendapatan negara," katanya.