SEREMBAN- Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan hari ini mengesahkan terdapat beberapa kes positif Koronavirus (Covid-19) di negeri ini yang mempunyai hubungan dengan perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pemangku Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Mohammad Faid Abd Rashid berkata, kesemua kes yang telah disahkan positif dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut dan Pejabat Kesihatan Daerah akan melakukan pengesanan kontak rapat kepada pesakit positif Covid-19.
"Kesemua kontak rapat akan dilakukan ujian saringan Covid-19 dan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Bagi Kontak Covid-19 di bawah Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
"Prosedur yang dilakukan ini adalah Prosedur Operasi Standard Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, sebuah berita yang tular melalui aplikasi WhatsApp mendakwa kes positif Covid-19 di Felda Pasoh 3, Jempol dan anggota kesihatan melakukan saringan Covid-19 di Masjid Felda Pasoh 3.
Mengulas lanjut, beliau menyeru orang ramai supaya tidak menularkan sebarang maklumat yang boleh menyebabkan kebimbangan dalam kalangan rakyat setempat.
"Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan diri yang baik seperti kerap mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan hand sanitizer, mengamalkan etika batuk yang betul, mengamalkan jarak sosial, tidak menghadiri perhimpunan atau aktiviti keramaian dan tidak melakukan perjalanan ke negara yang terjejas dengan virus Covid-19,” katanya.
Katanya untuk maklumat terkini dan sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi hotline ‘Crisis Preparedness And Response Center’ Kebangsaan di talian 03-88810200, 03-88810600 atau 03-88810700.