BATU PAHAT - [DIKEMASKINI] Kerajaan Johor akan mengadakan satu mesyuarat khas dalam masa terdekat ini bagi membincangkan ‘nasib’ rakyat negeri berkenaan yang bekerja dan berulang-alik ke Singapura susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang diisytiharkan pada Isnin, bagi menyekat penularan koronavirus (Covid-19) di negara ini.
Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Izhar Ahmad berkata, kerajaan negeri akan mengikuti perintah kawalan pergerakan yang bermula esok demi kepentingan rakyat.
Beliau berkata, satu mesyuarat khas akan dijalankan sama ada hari ini atau esok membabitkan agensi yang terlibat termasuk berkaitan penduduk di negeri ini yang mencari rezeki di Singapura.
"Kita juga akan berhubung dengan kerajaan pusat bagi membincangkannya dan hasil keputusan akan diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad.
"Menteri Besar juga akan mengumumkan beberapa langkah untuk mengatasi masalah Covid-19 terutama yang membabitkan rakyat di negeri ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Kira-kira 400,000 orang dianggarkan memasuki Singapura menerusi Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, setiap hari.
ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bermula 18 Mac
Dianggarkan kira-kira 200,000 daripadanya rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu dan berulang-alik antara Johor Bahru ke negara itu, setiap hari menaiki motosikal atau kenderaan lain.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Johor, Baharudin Tahir ketika dihubungi Bernama menjelaskan, Perintah Kawalan Pergerakan turut tertakluk kepada mereka yang bekerja di republik itu serta berulang-alik ke Malaysia.
"Setakat ini, mengikut pemahaman saya, memang ya. Jabatan Imigresen Malaysia akan memperincikannya hari ini.
"Sebaik siap, kami akan keluarkan arahan atau pekeliling,” katanya.
Bagaimanapun, mereka yang mahu mengetahui lebih lanjut boleh menghubungi talian hotline 03-88882010 bermula dari jam 12 tengah hari ini. - Bernama