Padah curi hasil laut, nelayan Myanmar kena cekup

Iklan
Empat warga Myanmar yang ditahan dalam Op Pintasan di laut Tanjung Karang, Selangor semalam.

KLANG - Pasukan Polis Marin (PPM) merampas ikan pelbagai jenis seberat 600 kilogram, sekali gus menggagalkan aktiviti warga asing yang dikesan menangkap hasil laut secara haram di laut Tanjung Karang Selangor semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Hazri Zakaria berkata, melalui Op Pintasan kira-kira jam 4.40 petang itu, pihaknya berjaya mengesan sebuah bot tunda kelas B dalam keadaan mencurigakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong bersama tiga awak-awak warga Myanmar berusia 20 hingga 41 tahun.

Sebuah bot tunda kelas B yang ditahan dalam Op Pintasan di laut Tanjung Karang, Selangor semalam.

"Kita percaya kegiatan ini telah dilakukan sejak setahun lalu yang mana warga asing ini digaji oleh warga tempatan untuk menangkap hasil laut," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

Menurutnya, nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM5,800.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti adalah melanggar syarat lesen iaitu pemilik bot gagal mengusahakan sendiri dan menggunakan pekerja asing tanpa kebenaran bertulis Pengarah Perikanan Negeri.

Iklan

Katanya, kes telah diserah kepada Jabatan Perikanan Pelabuhan Klang untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985.