SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan memastikan bekalan barangan makanan di negara ini stabil serta terkawal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan koronavirus (Covid-19).
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pemantauan dilakukan secara berterusan dan akan dimaklumkan kepada orang ramai daripada semasa ke semasa terhadap sebarang perkembangan.
Menurutnya, stok beras di peringkat kilang, borong dan runcit masih di tahap konsisten dengan purata 400,000 hingga 500,000 tan metrik sebulan berbanding keperluan bulanan negara sebanyak 200,000 tan metrik.
"Pengeluaran serta bekalan daging dan telur ayam yang kebanyakannya dihasilkan secara tempatan adalah mencukupi untuk menampung permintaan domestik.
"Secara purata, pengeluaran ayam adalah antara 57 sehingga 59 juta ekor sebulan berbanding penggunaan dalam negara antara 43 sehingga 45 juta ekor sebulan.
"Manakala pengeluaran telur sebulan adalah sebanyak 800 juta biji berbanding penggunaan sekitar 620 sehingga 630 juta biji sebulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:'Elak pembelian panik, bataskan pergerakan keluar rumah'
Dr Ronald berkata, bekalan daging lembu dan kerbau sebanyak 18,000 tan metrik termasuk bekalan daging sejuk beku yang diimport dari Australia dan India dianggarkan mencukupi untuk keperluan semasa.
Menurutnya, pengeluaran bahan keperluan makanan lain terutama ikan bagi suku tahun pertama 2020 tidak mengalami perubahan ketara.
"Pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan juga tidak menunjukkan kesan yang ketara, namun begitu jumlah eksport ke negara luar seperti Singapura dan China menunjukkan tren penurunan akibat penularan wabak Covid-19.
"Dalam keadaan ini, pihak kementerian akan terus memantau perkara ini bagi memastikan golongan petani, nelayan dan penternak tidak terjejas,” katanya.
Sehubungan itu beliau berkata, kementerian menasihati orang ramai supaya tidak membuat pembelian panik dan menyimpan bekalan bahan makanan secara berlebihan.