Bekalan makanan di Pulau Pinang mencukupi

Iklan
Mohd Ridzuan (kanan) meninjau bekalan makanan di Pasaraya Mydin Jalan Bharu tadi.

BUKIT MERTAJAM- Bekalan makanan keperluan di Pulau Pinang mencukupi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Malaysia yang bermula esok sehingga 31 Mac ini, susulan penularan koronavirus (Covid-19).

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, walaupun berlaku pembelian panik sejak malam tadi, bekalan makanan didapati masih mencukupi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan di pasar raya utama masih dalam keadaan terkawal dan bekalan makanan yang kurang akan ditambah segera bagi menampung pembelian pembeli.

"Pemeriksaan di pasar raya utama di negeri ini mendapati beberapa jenis barang makanan seperti makanan dalam tin; telur; sayur; tisu, ayam dan ikan telah habis. Ia susulan pembelian panik sejak malam tadi sehingga hari ini. Bagaimanapun, KPDNHEP Pulau Pinang dimaklumkan bahawa bekalan yang habis dan berkurangan akan ditambah dalam masa terdekat.

Bekalan makanan keperluan di Pulau Pinang mencukupi.

Iklan

"Kita mendapat jaminan daripada pasar raya bahawa bekalan makanan akan ditambah segera dan ia mencukupi untuk semua pembeli. Kita ada membuka satu bilik gerakan untuk memantau situasi bekalan dan pembelian," katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Mohd Ridzuan mengadakan tinjauan di Pasaraya Mydin Jalan Bharu, di sini susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi.

Iklan

Tambah beliau, orang ramai diminta bertenang dan tidak melakukan pembelian panik susulan bekalan makanan di Pulau Pinang mencukupi sepanjang perintah kawalan tersebut.

"Bekalan tiada masalah selain pasar raya juga tidak ditutup. Ini bermakna, pembeli masih boleh membeli barangan keperluan seperti biasa. Oleh itu, saya minta pembeli bertenang dan jangan melakukan pembelian panik atau berlebihan.

"Mengenai penutup muka dan sanitizer pula, memang kita ada terima aduan bahawa tiada bekalan. Langkah-langkah untuk mendapatkan bekalan sedang diusahakan. Kementerian sedang dalam proses perbincangan dengan pembekal untuk masalah itu," katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada peniaga agar tidak sesuka hati menaikkan harga barang dalam tempoh perintah kawalan pergerakan ini.

Keadaan di Tesco Tanjung Pinang yang sesak sejak awal pagi tadi.

Sementara itu, tinjauan di beberapa pasar raya mendapati orang ramai mula membanjiri untuk membeli barang keperluan susulan perintah kawalan pergerakan kerana Covid-19.

Tinjauan di Pasaraya Tesco Tanjung Pinang, Tanjung Tokong mendapati, tempat meletak kereta telah penuh sejak jam 7 pagi lagi.

Orang ramai membanjiri pasar raya itu bagi membeli barang keperluan.

Bagaimanapun, keadaan di beberapa buah bank dan farmasi di bandar ini masih terkawal dan tidak dipenuhi oleh orang ramai.

Selain itu, tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) juga terkawal dan semua penumpang selain petugas lapangan terbang memakai penutup muka sebagai langkah pencegahan.