KUALA LUMPUR - Semua cawangan Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd dan platform beli-belah dalam talian, Tesco Online akan terus dibuka seperti biasa semasa Perintah Sekatan Gerakan bermula 18 hingga 31 Mac ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Tesco, Paul Ritchie memberi jaminan kepada pelanggan bahawa syarikat itu mempunyai stok yang mencukupi dan akan terus menambah produk penting di semua cawangan bagi memenuhi permintaan dalam tempoh ketidaktentuan disebabkan oleh pandemik Covid-19.
"Cawangan kami lebih sibuk daripada biasa kerana ramai pelanggan yang membeli barangan harian dalam kuantiti yang tinggi.
"Walaupun pelanggan mungkin mendapati ada beberapa barangan kelihatan seperti sudah kehabisan kerana permintaan yang tinggi, saya ingin meyakinkan pelanggan bahawa stok baru sentiasa dihantar ke setiap cawangan dan rakan sekerja kami bekerja sepanjang masa untuk mengisi rak secepat mungkin.
"Kami juga sedang bekerjasama rapat dengan pembekal untuk mengekalkan bekalan semua produk utama, terutamanya makanan segar dan beku, barangan runcit kepentingan rumah serta barangan bukan makanan yang penting. Kami meminta para pelanggan untuk membeli barangan seperti biasa dan hanya membeli apa yang mereka dan keluarga mereka perlukan," katanya hari ini.
Beliau turut menggalakkan pelanggan untuk menggunakan aplikasi Scan & Shop yang baharu dilancarkan bulan lalu apabila membeli-belah barangan rumah di Tesco.
"Pelanggan kami boleh berbelanja dengan mudah melalui aplikasi Scan & Shop kami yang akan membantu mereka menjejaki perbelanjaan dan mengimbas pembelian. Bukan sahaja mereka boleh mengurangkan masa membeli-belah, mereka juga boleh mengurangkan hubungan fizikal semasa dalam cawangan kami," katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN] -PM jamin bekalan makanan cukup, tidak perlu pembelian panik
"Aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store dan App Store ini membolehkan pelanggan menjejaki perbelanjaan mereka dengan mengimbas barangan itu sendiri semasa membeli-belah.
"Sebaik sahaja selesai, pelanggan boleh pergi terus ke kaunter layanan sendiri atau kaunter tunai, sediakan kod bar yang dihasilkan aplikasi dan membayar tanpa perlu mengeluarkan apa-apa barangan dari bakul atau troli mereka dan tanpa memerlukan juruwang mengimbas barangan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Tesco akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan dalam melaksanakan langkah-langkah yang diperlukan untuk memastikan kesihatan dan keselamatan semua pekerja serta pelanggan di semua cawangannya di seluruh negara.
"Langkah-langkah ini termasuklah kerap menyahkuman di troli, kaunter pembayaran, dulang penghantaran, peralatan dan semua kawasan sesak pelanggan dengan cecair pembasmian kuman.
"Sekiranya pelanggan mempunyai sebarang pertanyaan mengenai perkara ini, sila hubungi Talian Bantuan Pelanggan Tesco di 1300 13 1313," katanya.