KUALA TERENGGANU - Laungan azan lima waktu solat fardu akan diteruskan oleh bilal masjid dan surau yang bertugas sebagai panduan masuknya waktu solat kepada seluruh umat Islam di Terengganu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa esok hingga 31 Mac depan.
Mufti Terengganu, Datuk Dr Zulkifly Muda berkata, dalam tempoh itu, juga semua masjid dan surau hendaklah melaksanakan operasi pembersihan dan penyahkuman sebagai langkah-langkah kawalan bagi mengelakkan jangkitan virus Covid-19.
"Ahli kariah hendaklah menunaikan solat Zuhur pada hari Jumaat dan solat fardu lima waktu di rumah masing-masing bagi memastikan keberkesanan tindakan ini.
"Bagi memastikan penularan wabak Covid-19 tidak terus berlarutan, maka seluruh masyarakat di Terengganu hendaklah menghindarkan diri daripada bersalam sehingga keadaan kembali pulih sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Keputusan itu diambil selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu Kali Ketiga Penggal ke-13 yang bersidang hari ini berdasarkan kepada taklimat dan penerangan yang disampaikan oleh Pegawai Perubatan dari Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
Beliau berkata, sekiranya berlaku kematian akibat jangkitan wabak Covid-19, maka pengurusan mandi jenazah bagi orang Islam adalah seperti biasa.
"Sekiranya tidak dapat dilakukan, maka hendaklah ditayammumkan seperti biasa, namun sekiranya tidak dapat dilakukan juga, maka dibolehkan dilakukan tayammum hanya di atas permukaan beg jenazah atau pun pembalut yang membalut jenazah itu.
"Adalah wajib bagi semua rakyat di Terengganu untuk mematuhi segala arahan yang telah diberikan oleh pihak berkuasa demi memastikan terselamat daripada wabak Covid-19 dengan keputusan ini dibuat berdasarkan kepada Kitab Mughni Al Muhtaj, Al-lnsaf, AlWadih Fi Usul Al-Fiqh, Asna Al-Matalib dan Al-Ashbah Wa Al Nazair," katanya.
Sementara itu di Pulau Pinang, muazin masjid di negeri itu akan mengubah laungan azan bermula waktu solat fardu Asar hari ini, kata Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Beliau berkata, laungan azan itu akan diubah daripada"hayya 'ala al-solah" yang bermaksud 'marilah menunaikan solat' kepada 'sollu fi buyutikum' yang bermaksud 'tunaikanlah solat di rumah kamu'.
Laungan azan bagi setiap solat fardu itu akan berkumandang selama 14 hari sejajar pengumuman arahan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini.
"Pada 1 April, laungan azan yang asal akan dilaungkan seperti sedia kala namun bergantung kepada arahan pihak atasan dan situasi Covid-19," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM1 juta kepada masjid daerah dan masjid negeri di Pulau Pinang.
"Sumbangan itu adalah bantuan untuk mengimarahkan masjid daerah dan masjid negeri dalam memperkasakan peranan masjid dalam masyarakat.
"Ia juga adalah untuk penganjuran pelbagai aktiviti dan program yang akan dijalankan oleh masjid daerah dan masjid negeri di Pulau Pinang tertakluk kepada arahan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.
Masjid yang menerima peruntukan itu termasuk Masjid Negeri Pulau Pinang sebanyak RM510,000, Masjid Abdullah Fahim Kepala Batas sebanyak RM130,000, Masjid Daerah Butterworth, Masjid Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, Masjid Daerah Seberang Perai Selatan dan Masjid Daerah Barat Daya masing-masing menerima RM90,000.
Terdahulu, Jabatan Mufti Pulau Pinang bersama Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) telah mengeluarkan arahan kepada kariah seluruh negeri itu supaya menghentikan segala aktiviti perhimpunan termasuk solat jemaah dan solat Jumaat di masjid dan surau di Pulau Pinang dalam usaha membendung penularan Covid-19. - Bernama