SHAH ALAM - Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menangguhkan kutipan bayaran balik pinjaman yang dibuat oleh Sahabat AIM untuk tempoh dua minggu bermula dari tarikh hari ini sehingga 31 Mac ini.
Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat bagi meringankan beban yang ditanggung oleh Sahabat AIM yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Beliau berkata, penangguhan dua minggu tersebut akan memberi kesan langsung dengan kerugian sebanyak RM16 juta yang akan ditanggung oleh AIM.
"Walaupun AIM perlu menanggung sebanyak RM16 juta, namun ia perlu dilakukan kerana kami amat prihatin dan memahami situasi yang dialami oleh Sahabat AIM pada masa kini.
"Kita juga akan menyusun dan mengemaskini semula produk-produk pembiayaan yang sedia ada untuk membantu meringankan kos operasi Sahabat supaya ia dapat disesuaikan dengan keperluan semasa,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Muhyiddin mengumumkan perintah kawalan selama dua minggu di seluruh negara mulai 18 Mac iaitu esok hingga 31 Mac ini.
Beliau menjelaskan, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.
Untuk menguatkuasakan larangan tersebut, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.
Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.