SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan kegagalan mana-mana syarikat atau majikan untuk menanggung pembayaran gaji kakitangan mereka yang terpaksa dicutikan susulan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu adalah perbuatan khianat kepada negara.
Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, majikan harus menyedari implikasi berkenaan penularan wabak koronavirus (Covid-19) kini sudah mencapai tahap pandemik di mana tindakan terkini kerajaan adalah langkah tepat bagi menghindarkan wabak itu menular secara lebih serius ke seluruh negara.
Menurutnya, dalam keadaan meruncing seperti ini, majikan seharusnya memberi bantuan kepada kerajaan dengan memastikan kebajikan pekerja masing-masing terbela, sekali gus membolehkan kerajaan tidak terjejas tumpuan bagi memerangi Covid-19.
"Saya mengakui ada menerima banyak panggilan dari ahli gabungan yang mengadu majikan masing-masing sedang berkira-kira untuk tidak membayar gaji kakitangan syarikat yang diwajibkan cuti atau bekerja dari rumah susulan arahan terkini kerajaan semalam.
"Untuk majikan mengatakan mereka enggan bayar gaji semasa pekerja berada di rumah, ini adalah satu perbuatan terkutuk, cuba mensabotaj niat murni kerajaan memerangi Covid-19 dan boleh dianggap sebagai pengkhianat negara,"katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian hari ini.
Solomon berkata, inilah masanya majikan-majikan yang sudah menerima banyak manfaat kekayaan dengan menjalankan perniagaan di negara ini untuk kembali memberi sumbangan kepada negara dengan memastikan ekonomi terus bertumbuh dan tidak lumpuh.
Bagaimanapun, Solomon mengakui Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 diumumkan kerajaan sebelum ini tidak mencukupi bagi menjamin kepentingan majikan-majikan dan pekerja swasta.
"Pada saat genting seperti ini, MTUC tidak melihat keperluan menekan kerajaan supaya menambah segera dana pakej rangsangan ekonomi, sebaliknya kerajaan diharap mampu memujuk institusi perbankan supaya menangguhkan tempoh pembayaran balik pinjaman oleh pekerja-pekerja bagi tempoh enam bulan.
"Ini penting supaya wang daripada pembayaran balik pinjaman itu digunakan pekerja-pekerja terjejas untuk perkara lebih mustahak,
"Paling penting, MTUC mahu memastikan jangan ada pekerja-pekerja dari golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40) mengalami lebih banyak kesusahan akibat Covid-19," katanya.