PUTRAJAYA - Individu yang gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan bermula tengah malam ini bakal berdepan hukuman penjara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menegaskan, individu berkenaan boleh didakwa dan disabitkan kesalahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988(Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 334).
Menurutnya, pihaknya menggesa orang ramai supaya mematuhi segala arahan berkaitan dengan perintah tersebut.
"Sekiranya disabitkan dengan kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24 Akta 342, iaitu penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
"Manakala bagi kesalahan kedua, hukuman penjara sehingga lima tahun boleh dikenakan selain denda atau kedua-duanya.
"Kesalahan yang berterusan didenda selanjutnya tidak melebihi RM200 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan," katanya.
Menurutnya, setiap individu perlu menggalas tanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan membendung penularan wabak berkenaan.
"Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai perintah berkenaan adalah bertepatan," katanya.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan perlu dilakukan bagi mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini dijangkiti wabak Covid-19.
"Penularan Covid-19 memasuki gelombang kedua. Bagaimanapun tindakan berkenaan tidak akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan yang mana ianya akan terus diberikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di kesemua fasiliti.
"Begitu juga perkhidmatan kesihatan swasta," katanya.
Katanya, KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperolehidan dimaklumkan dari masa ke semasa.