KAMPUNG GAJAH - Kejadian misteri itu masih berlaku apabila lapan rumah penduduk telah menerima tetamu tidak diundang itu, awal pagi hari ini.
Penduduk, M Razali, 50, berkata, aduan diterima melibatkan Kampung Batu 31 dan Kampung Sungai Galah sahaja.
"Kami bersama 30 pemuda kampung lain memang sudah bersiap untuk jalankan rondaan sehinggalah mendapat mesej ada rumah kena ketuk.
"Bergegas kami ke sana tetapi macam biasa, tiada apa-apa penampakan. Rondaan dijalankan sehingga jam 5 pagi tadi sebelum azan Subuh," katanya.
Menurutnya, gangguan ketukan pintu itu tidaklah galak seperti yang berlaku beberapa hari lalu.
"Malam sebelumnya melibat puluhan rumah dalam tempoh beberapa jam tapi pagi tadi agak kurang. Ada juga kampung tidak kena seperti Kampung A A Tin.
"Kami ingatkan selepas kejadian rasuk itu, tiada berlaku lagi rupanya masih ada.
"Bagaimanapun, kami tetap jalankan rondaan seperti biasa sehinggalah ada alternatif lain yang dapat membantu agar kampung kami dapat pulih," katanya.