Covid-19: Sabah keluarkan perintah sekatan Imigresen

Iklan
Shafie

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah mengumumkan Perintah Sekatan Imigresen untuk menghalang penduduk yang bukan berasal dari Sabah ke negeri ini sepanjang arahan Perintah Kawalan Pergerakan bermula esok sehingga 31 Mac ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, semua pergerakan masuk penduduk bukan berasal dari Sabah melalui pintu masuk udara, laut dan darat tidak dibenarkan kecuali mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri dan mempunyai pengesahan kesihatan yang membuktikan individu berkenaan bebas Covid-19.

Iklan
Iklan

"Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke negeri Sabah juga dibuat dan sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Sabah ke luar negara.

"Bagi yang baru pulang dari luar negara mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan media khas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh Sabah termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya juga dikuatkuasakan.

"Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian,” katanya.

Iklan

Mohd Shafie berkata, semua premis kerajaan juga ditutup, kecuali jabatan yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.

Katanya kerajaan negeri telah mengaktifkan Jawatankuasa Bencana Negeri bermula 12 Mac lepas yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Jawatankuasa Bencana di peringkat daerah juga turut diaktifkan dan dipengerusikan oleh pegawai daerah,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri berharap kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk membekalkan data-data terkini dan terperinci berkaitan dengan penularan Covid-19 agar tindakan dapat diambil dengan cepat.- Bernama