RAKYAT Malaysia buat pertama kali dalam sejarah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu bermula tengah malam tadi hingga 31 Mac nanti bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Perintah di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 itu diisytiharkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, beberapa jam sebelum dua kematian pertama akibat wabak itu dicatatkan di Johor dan Sarawak semalam.
Di Malaysia, kes Covid-19 telah meningkat secara mendadak dengan keseluruhan kes dijangkiti mencecah 673 orang setakat semalam.
Perintah Kawalan Pergerakan ini antara lain melibatkan penutupan premis perniagaan, pasar malam, taska, sekolah, pejabat-pejabat kerajaan dan swasta serta sekatan perjalanan ke luar negara.
Kelonggaran hanya diberikan kepada premis perniagaan tertentu seperti pasar raya dan kedai runcit selain perkhidmatan penting negara termasuk air, tenaga, telekomunikasi dan perbankan.
Melihat kepada senarai apa yang ‘boleh’ dan ‘tidak boleh’ dilakukan dalam tempoh dua minggu ini, pasti ia menimbulkan kesulitan kepada orang ramai untuk menjalani kehidupan seharian.
Doktor dan jururawat yang menghantar anak ke taska 24 jam pasti pening memikirkan kaedah alternatif untuk menjaga anak masing-masing.
Beribu-ribu rakyat Malaysia yang bekerja secara ulang-alik di Singapura dan Thailand tidak dapat bekerja seperti biasa malah berisiko hilang pendapatan. Perniagaan berskala besar seperti hotel dan resort yang terpaksa menutup operasi tentulah menanggung kerugian yang lebih besar lagi.
Namun, tindakan tegas ini mesti diambil oleh kerajaan demi membendung wabak maut ini. Pada masa yang sama, kerajaan haruslah mendengar dan bertindak atas rintihan rakyat yang terjejas teruk akibat langkah tersebut.
Tempoh dua minggu ini adalah masa untuk orang ramai membuktikan mereka adalah rakyat yang bertanggungjawab dengan mengehadkan pergerakan. Cuti 14 hari ini bukanlah masanya untuk ‘cuti-cuti’ dengan melancong atau bersiar-siar di pasar raya kerana anda mungkin dijangkiti atau menjangkiti Covid-19 kepada orang lain.