Langkah tegas bendung wabak Covid-19

Iklan

TIDAK pernah terbayang dalam fikiran, Malaysia dan seluruh dunia akan menghadapi penularan virus maut Covid-19 dalam masa yang sangat singkat. Dalam tempoh tidak sampai lima bulan, wabak itu telah merebak ke 150 buah negara.

Dahulu dunia bukannya tidak pernah mengalami jangkitan penyakit berbahaya. Penyakit seperti kolera, cacar, selesema Sepanyol, selesema babi, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), dan Ebola adalah antara penyakit yang pernah mewabak sehingga mengakibatkan banyak nyawa terkorban.

Iklan
Iklan

Namun begitu, penyakit berjangkit berkenaan tidak melangkaui semua benua. Sebaliknya ia hanya menjejaskan wilayah, sesebuah negara atau negara serantau sahaja. Selalunya, wabak tersebut dapat dikawal sebelum ia merebak ke kawasan yang lebih luas.

Misalnya, wabak Ebola pada tahun 2014 yang mengorbankan 2,430 mangsa kebanyakannya berkisar di Guinea, Liberia, Sierra Leone, Nigeria dan Senegal. Walaupun ada kes dicatat di Amerika Syarikat dan Sepanyol, namun pusat wabak yang berlarutan selama lapan bulan itu masih lagi di negara-negara Afrika berkenaan.

Iklan

Berlainan dengan Covid-19, virus yang mula dikesan di Wuhan, China pada November tahun lalu lebih berbahaya kerana mampu merebak dengan pantas ke serata dunia hanya dengan hubungan kontak dengan pesakit yang disyaki.

Sebagai contoh, jika seseorang bersalaman dengan individu positif Covid-19 yang belum menerima rawatan, dia mungkin telah dijangkiti. Kemudian, apabila dia pulang ke rumah dan berhubungan dengan ahli keluarganya, seisi rumahnya pula akan disyaki positif Covid-19.

Iklan

Jika seisi keluarga yang disyaki positif itu pergi pula ke tempat awam seperti pusat beli-belah dan majlis keraian, mereka pula akan mendedahkan orang lain kepada jangkitan virus berkenaan.

Merebak

Bayangkan betapa cepatnya virus Covid-19 ini merebak. Sehingga semalam, Malaysia telah mencatatkan 673 kes jangkitan dengan dua kematian dan merupakan negara ASEAN tertinggi mencatatkan bilangan kes jangkitan Covid-19.

Justeru, pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin yang memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini (18 Mac) hingga 31 Mac di seluruh negara dilihat sebagai langkah tepat menangani penularan wabak ini.

Perintah itu melibatkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Sekatan menyeluruh bagi perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara akan dikenakan, manakala bagi warganegara yang baru pulang ke Malaysia perlu melakukan kuarantin sukarela selama 14 hari. Dalam tempoh ini juga sekatan kemasukan pelancong dan pelawat asing akan dikenakan di semua pintu masuk utama negara.

Selain itu, taska, sekolah, dan semua institusi pengajian awam dan swasta serta premis kerajaan dan swasta perlu ditutup, kecuali yang terbabit dengan perkhidmatan penting negara.

Rakyat sebenarnya tetap boleh keluar rumah untuk urusan kerja, hospital, klinik dan membeli barangan keperluan, cuma perlu mengehadkan pergerakan dengan berada di kediaman masing-masing sekiranya tiada keperluan berurusan di luar.

Apakah kita mahu melihat Malaysia menjadi seperti Itali dan Iran yang terjejas teruk akibat peningkatan mendadak kes rakyatnya dijangkiti dan maut akibat tindakan lewat diambil.

Setakat semalam, Itali mencatatkan 27,980 kes dengan 2,158 kematian dan Iran mencatatkan 16,169 jumlah kes dengan 988 kematian. Kedua-dua negara ini merupakan negara kedua dan ketiga tertinggi kes Covid-19 selepas China.

Apakah kita yakin usaha yang dibuat kerajaan ini akan berjaya? Sekiranya rakyat memberi kerjasama dengan sebaik-baiknya, kita akan menemui penyudah yang positif dalam usaha membanteras Covid-19 ini.

Kita hendaklah memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa bahawa Perintah Kawalan Pergerakan ini bukan untuk membebankan rakyat sebaliknya untuk menyekat penularan wabak maut Covid-19.

* Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah ialah Eksekutif Strategi Kandungan Sinar Harian