Singapura tampal pelekat di bangku kedai makan

Iklan
Foto memaparkan pelekat berwarna merah ditampal pada kerusi kedai makan bagi menjarakkan hubungan sosial pelanggan. - Foto Mediacorp

SINGAPURA - Usaha kerajaan Singapura menjarakkan hubungan sosial di pusat penjaja dilihat masih belum difahami rakyatnya bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menerusi laporan Mediacorp, sejak Jumaat lalu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sudah menampal pelekat berwarna merah atau biru pada tempat duduk di tiga pusat penjaja bagi memaklumkan para pelanggan bahawa tempat duduk itu tidak sepatutnya digunakan.

Iklan
Iklan

Inisiatif itu dimulakan di Pusat Penjaja Sembawang Hills, Pusat Penjaja Pasir Ris Central dan Pasar dan Pusat Penjaja Tanglin Halt bagi menggalakkan para pelanggan supaya menjarakkan diri mereka dengan pelanggan lain.

Sungguhpun demikian, ada juga pelanggan yang tidak maklum tentang inisiatif tersebut.

Iklan

Seorang pesara, Ng Geok Hua, 73, berkata, dia perasan pelekat berwarna merah di kerusi sebuah kedai makan.

"Saya ingatkan tempat duduk itu rosak. Lepas itu, barulah saya menyedari ia untuk menjarakkan hubungan antara pelanggan dan saya rasa ia satu inisiatif yang baik," katanya.

Iklan

Begitu juga dengan situasi di Pusat Penjaja Pasir Ris di mana ramai pelanggan memberitahu Mediacorp bahawa mereka tidak tahu tentang matlamat tempat duduk yang ditandakan itu meskipun lebih 20 notis sudah ditampal di tiang-tiang di sekitar premis tersebut.

NEA melaksanakan inisiatif tersebut setelah Kementerian Kesihatan (MOH) menasihatkan para peniaga yang mengusahakan makanan dan minuman supaya menjarakkan hubungan sosial antara pelanggan mereka.

Menurut jurucakap NEA, pelekat yang ditampal pada tempat duduk itu bertujuan dijadikan sebagai panduan mengenai bagaimana jarak sosial seharusnya diamalkan apabila di pusat penjaja.

"NEA akan mengkaji dan menilai keberkesanan pelaksanaan tersebut dan akan mendapatkan maklum balas sebelum diperluaskan kepada pusat niaga lain." katanya.