SUNGAI BESAR - Seorang wanita yang pengsan di Pasar Awam Sungai Besar di sini disahkan mengalami tekanan darah rendah dan tiada gejala jangkitan Covid-19.
Seorang pemilik akaun Facebook yang mengakui anak kepada wanita terbabit berkata, ibunya tiada kaitan dengan penularan wabak berkenaan.
"Emak saya bukan suspek Covid-19, (sebaliknya) emak pengsan (disebabkan) tekanan darah rendah (dan) kurang gula dalam badan," katanya.
Menurutnya, ibunya sudah mendapatkan rawatan kini semakin pulih dan stabil.
"Terima kasih atas doa semua. Semoga kita semua dilindungi ALLAH," katanya.
Sebelum ini, sebuah laman sosial Facebook popular di Sabak Bernam memuat naik status dan gambar memaparkan petugas kecemasan yang memakai topeng muka mengusung seorang wanita sambil diperhatikan orang awam di sebuah pasar awam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias mengesahkan kejadian terbabit.
"Kejadian membabitkan seorang wanita jatuh pengsan disebabkan tekanan darah rendah di pasar awam berkenaan," katanya.