SEREMBAN - Seorang lelaki maut dalam keadaan tragis apabila badannya hancur akibat digilis beberapa kenderaan di Kilometer 274.3 Lebuhraya Utara Selatan (Plus), arah utara di sini awal pagi tadi.
Mangsa G Muniandy, 50, digilis selepas dilanggar ketika menyeberangi jalan ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban dipercayai apabila motosikalnya kehabisan minyak pada jam 5.40 pagi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, mangsa dilanggar sebuah kenderaan dari arah Seremban menuju ke Nilai yang tidak menyedari mangsa melintas jalan.
"Ketika itu, kenderaan tersebut berada di lorong paling kanan tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa.
"Akibatnya, mangsa tercampak ke atas jalan raya sebelum digilis beberapa kenderaan lain yang melalui lokasi sehingga menyebabkan tubuh mangsa hancur,” katanya.
Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas kira-kira 6km dari arah susur keluar Seremban menghala ke R&R Seremban Utara apabila kerja-kerja mengutip cebisan tubuh mangsa dan pembersihan perlu dilakukan.
"Selain polis, anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang berada berada di lokasi turut membantu mengutip cebisan tubuh mangsa. Kita juga menjumpai motosikal milik mangsa yang diletakkan 30 meter dari lokasi,” katanya.
Mohd Nor Marzukee berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini untuk bedah siasat dan polis kini sedang mengesan ahli keluarga mangsa yang menetap di Mantin untuk bantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.