841 rakyat Malaysia terkandas di 20 negara

Iklan
Seramai 841 rakyat Malaysia dilaporkan terkandas di 20 negara berikutan penguatkuasaan peraturan kawalan atau sekatan perjalanan sebagai langkah mengawal wabak koronavirus (Covid-19). Foto fail Bernama

SHAH ALAM - Seramai 841 rakyat Malaysia dilaporkan terkandas di 20 negara berikutan penguatkuasaan peraturan kawalan atau sekatan perjalanan sebagai langkah mengawal wabak koronavirus (Covid-19).

Mereka terdiri daripada 274 orang di India; Uzbekistan (209); Maghribi (160); Mesir (43); Arab Saudi (28); Bangladesh (26); Sweden (26); Sepanyol (19); 11 orang di Austria; lapan orang di Montenegro; Finland (8); Ukraine (7); Switzerland (5); Norway (5); Maldives (4); Poland (3); Hungary (2) dan masing-masing seorang di Lithuania, Panama dan Ecuador.

Iklan
Iklan

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, semua mereka sudah diberikan bantuan konsular oleh Perwakilan Malaysia di luar negara merangkumi nasihat berkenaan urusan penginapan sementara; laluan penerbangan alternatif dan bantuan lain yang berkaitan.

Menurutnya, setakat ini Pejabat Perwakilan yang terbabit berjaya membantu memudah cara urusan pulang bagi sejumlah 116 rakyat iaitu 113 orang di Maghribi dan tiga dari Maldives.

Iklan

"Seperti yang dinyatakan Menteri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pagi ini bahawa Perintah Kawalan Pergerakan oleh Malaysia tidak menghalang kemasukan rakyat kita dari luar negara.

"Rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara juga diminta untuk terus bertenang dan menghubungi Perwakilan Malaysia yang berkenaan di samping mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan jangkitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar menyarankan rakyat Malaysia di luar negara mendaftar diri dengan Perwakilan Malaysia yang terdekat.