KUANTAN - Lima individu termasuk tiga pegawai daripada sebuah syarikat pengurusan air di negeri ini direman empat hari bagi membantu siasatan kegiatan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan projek bernilai RM23 juta.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Syarifah Nor Syuhada Tuan Mamat mulai hari ini sehingga Khamis ini selepas membenarkan permohonan SPRM yang dibuat Penguasanya, Muhammed Fiqrun Md Talip.
Kesemua suspek berusia antara 35 dan 51 tahun terbabit tiba di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, pada jam 9.15 pagi selepas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Syarifah Nor Syuhada Tuan Mamat sehingga Khamis ini selepas membenarkan permohonan SPRM yang dibuat Penguasanya, Muhammed Fiqrun Md Talip.
Kesemua mereka direman mengikut Seksyen 16(b)(A) dan Sekyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Semalam lima suspek terbabit ditahan antara jam 3.50 petang hingga 10.40 malam, selepas hadir ke Pejabat SPRM Pahang untuk diambil keterangan.
Kesemua mereka ditahan selepas dipercayai bersekongkol dengan tujuh suspek yang ditahan pada Khamis lalu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan tiga pegawai kanan sebuah syarikat pengurusan air untuk memonopoli projek pembekalan air di Pahang.
Dalam masa sama SPRM turut mengemukakan permohonan sambungan reman terhadap tujuh individu yang direman selama empat hari pada Jumaat lalu kepada Syarifah Nor Syuhada dan memberikan selamat tiga hari kepada semua suspek selepas tempoh reman mereka berakhir hari ini.
Semua suspek berusia 30-an hingga 60 tahun yang diwakili peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar, Zamri Idrus dan Datuk Davis Yee Fei Churn itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Dalam pada itu, Sinar Harian melaporkan satu lagi badan pengurusan air di negara ini turut dicemari skandal rasuah selepas skandal sama dibongkar SPRM membabitkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) beberapa tahun lalu.
Difahamkan kegiatan pegawai kanan itu sudah berlangsung sejak 2014 lagi dan sepanjang tempoh empat tahun kebelakangan ini, projek-projek yang dikeluarkan badan negeri itu dimonopoli dan dikawal oleh seorang kontraktor.