TAIPING - Sepasang suami isteri tidak berpuas hati dengan tindakan sebuah bank tempatan menarik keretanya tidak mengikut prosedur ditetapkan di bawah Akta Sewa Beli Pindaan 2010 dalam kejadian 29 Oktober tahun lalu.
Susulan itu, satu tindakan bakal diambil ke atas bank berkenaan melalui mahkamah di sini memandangkan pasangan peniaga makanan itu mengalami kerugian lebih RM10,000 setelah kereta ditarik sewaktu mereka sedang berniaga pada hari cuti umum.
Pemilik kereta, Noorliza Abdul Rahman,54, berkata, kejadian berlaku lebih kurang jam 4 petang di tapak gerai penjaja Taman Tasik Taiping, di sini apabila terdapat empat individu mendakwa wakil dari bank berkenaan menunjukkan surat tarik kereta jenis Toyota Avanza miliknya dan memaklumkan hendak menariknya.
Menurutnya, tindakan wakil bank terbabit mengejutkan dia dan suami, Mat Yatim Yasin,59, kerana beranggapan tidak mengalami masalah tunggakan bayaran bulanan lebih daripada sebulan.
"Susulan tidak puas hati dan malu dengan tindakan wakil bank itu, berlaku sedikit pertengkaran antara kami setelah suami bertindak mengambil gambar sewaktu kereta ditarik mereka.
"Tindakan mereka itu membingungkan kami kerana kereta ditarik pada hari cuti dan perniagaan kami pada hari kejadian turut terjejas teruk," katanya kepada media dalam sidang media di sini hari ini.
Noorliza berkata, susulan kejadian tarik kereta itu, pihaknya cuba mendapatkan penjelasan bank berkenaan di cawangan Ipoh pada keesokan hari, namun dimaklumkan kereta miliknya ditarik kerana mempunyai tunggakan lebih tiga bulan.
Bagaimanapun, hasil semakan dengan bank terbabit, dia menegaskan baki hutang kereta dibeli pada tahun 2012 berjumlah RM10,096.90, kurang daripada syarat 1/3 baki hutang yang dibolehkan bank menarik kereta melalui surat tarik kereta tanpa perlu mendapatkan kebenaran mahkamah.
"Merujuk kepada Akta Sewa Beli Pindaan 2010, pihak bank tersebut mesti memohon kelulusan mahkamah untuk menarik kereta saya, sekiranya baki hutang kurang daripada 1/3 daripada harga belian kereta iaitu RM36,790.65.
"Selain kesal tindakan bank menarik kereta tidak mengikut undang-undang ditetapkan, kami juga kecewa dengan wakil bank menarik kereta saya pada hari cuti peristiwa yang juga merupakan satu tindakan pencabulan Akta Sewa Beli Pindaan 2010," katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Turut hadir Penasihat Pengguna Taiping, Dr Billy Toh.
Noorliza berkata, setelah perbincangan dibuat, pihaknya diminta melunaskan jumlah pembayaran tiga bulan tunggakan bulanan kereta berjumlah RM1,788 bagi mendapatkan balik kenderaan itu.
Namun, pada 31 Oktober, pihak bank memaklumkan dia perlu membayar jumlah keseluruhan RM2,450 termasuk kos upah tarik kereta dan pihaknya terpaksa akur.
"Kami sekeluarga tidak berpuas hati kerana pihak bank langsung tidak menjelaskan bagaimana kadar tunggakan saya mencecah tiga bulan kerana kami menganggap mungkin hanya berlaku tunggakan ansuran sebulan.
"Susulan kejadian itu, keluarga saya kehilangan sumber pendapatan selama seminggu termasuk pada hari kejadian kereta ditarik di samping mengalami trauma kerana malu akibat perbuatan itu.
"Kami menganggarkan kerugian ditanggung lebih RM10,000 dan kini mengambil tindakan undang-undang setelah berbincang dengan Penasihat Pengguna Taiping, Dr Billy Toh,"katanya.
Sementara itu, Billy berkata, senario dialami keluarga Noorliza ini sebenarnya kerap berlaku dalam kalangan pelanggan bank yang berdepan masalah tunggakan ansuran bulanan kenderaan apabila terdapat segelintir sering mengambil kesempatan dengan mengabaikan Akta Sewa Beli Pindaan 2010.
Menurutnya, kisah malang keluarga malang terbabit wajar dijadikan panduan pembeli kenderaan lain pada masa hadapan bagi mengelakkan mereka turut menjadi mangsa.
"Saya juga ingin mengingatkan pihak bank supaya sentiasa mematuhi segala perkara diperuntukkan dalam Akta Sewa Beli Pindaan 2010 sebelum mengambil tindakan menarik kereta peminjam," katanya.