Kerajaan utamakan kesihatan, keselamatan rakyat: Azmin

Iklan
Azmin Ali

SHAH ALAM - Kesihatan dan keselamatan rakyat terus menjadi keutamaan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dari 18 hingga 31 Mac bagi menangani penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Justeru, kerajaan mengadakan beberapa siri libat urus dengan pemegang taruh industri bagi mendapatkan pandangan terhadap pelaksanaan strategi kerajaan itu dengan mematuhi protokol kesihatan ditetapkan.

Iklan
Iklan

Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, siri libat urus itu adalah untuk memastikan keperluan rakyat kepada perkhidmatan asas tidak terjejas sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, siri libat urus itu juga diadakan bagi mengurangkan gangguan kepada rantaian bekalan khususnya bagi makanan dan barang keperluan.

Iklan

"Kami sangat menghargai pandangan diberikan pemain industri yang memahami kewajaran melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan dalam suasana kritikal sekarang dan bersedia untuk membantu menjayakan usaha menjamin rantaian bekalan dalam sektor pembuatan mencukupi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil dari siri libat urus itu, kerajaan telah dapat mempertimbangkan dan memberikan kelulusan beroperasi kepada pihak industri pembuatan yang mengeluarkan produk-produk yang ditakrifkan sebagai kritikal.

Iklan

"Seperti mana dijelaskan di dalam kenyataan media oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) petang ini, kelulusan ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat tertentu bagi memastikan objektif utama pengawalan penularan wabak Covid-19 tercapai dengan sebaiknya.

"Garis panduan kesihatan yang ketat termasuk 'social distancing' dan proses sanitasi perlu diamalkan bagi pekerja dalam sektor-sektor pembuatan yang telah diluluskan untuk beroperasi di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

"Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan menyusul dengan pihak industri untuk memastikan perlaksanaan yang efektif dan berkesan," katanya.

Dalam pada itu, beliau telah berhubung langsung dengan Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, TYT Chan Chun Sing berhubung langkah-langkah bersama perlu diambil dalam situasi ketika ini pagi tadi.

Menurutnya, kerajaan akan terus memantau situasi bagi mengatasi cabaran berkaitan Covid-19 dan semua pihak dikehendaki mematuhi garis panduan MKN bagi memastikan keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan bagi menangani penularan pandemik Covid-19.