KUALA LUMPUR - Premis perniagaan di sekitar Kuala Lumpur yang disenaraikan tidak boleh beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini hingga 31 Mac mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Petaling, Jalan Chow Kit dan KL Sentral mendapati hanya premis seperti restoran, pasar raya yang menyediakan keperluan asas, hotel, pengurup wang dan kedai serbaneka dibuka.
Lokasi tumpuan seperti sekitar pusat beli-belah Sogo lengang dengan kenderaan yang melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman tidak seperti hari biasa.
Tinjauan di taman-taman rekreasi sekitar Kuala Lumpur juga mendapati ia ditutup kepada umum selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu mengurangkan penularan koronavirus (Covid-19).
Bagi restoran pula, pelanggan hanya dibenarkan membungkus dan dilarang untuk makan di premis tersebut.
Selain itu, pendekatan yang diambil oleh beberapa restoran makanan segera yang mengamalkan langkah sama di mana pelanggan mempunyai dua pilihan sama ada membeli secara pandu lalu atau di kaunter di mana pelanggan perlu melalui proses pengesanan suhu, hanya sebilangan kecil dibenarkan masuk dalam satu-satu masa dan berada pada jarak selamat semasa beratur.
Pemerhatian Sinar Harian turut mendapati wujud kesedaran orang ramai mengenai keperluan mengenakan topeng muka, pencuci tangan dan tidak berkumpul di tempat awam manakala suasana di KL Sentral pula sedikit lengang berbanding hari biasa susulan banyak syarikat memberikan cuti dan bekerja daripada rumah kepada kakitangan mereka.