Covid-19: 47 kes baharu di Singapura

Iklan
Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini melaporkan 47 kes positif baharu COVID-19 di republik itu, menjadikan jumlah keseluruhan 313 kes.- Foto AFP

SINGAPURA - Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini melaporkan 47 kes positif baharu COVID-19 di republik itu, menjadikan jumlah keseluruhan 313 kes.

Daripada 313 kes keseluruhan itu, 33 adalah kes dari luar melibatkan 30 penduduk Singapura yang dijangkiti virus berkenaan di luar negara dan kembali ke negara itu, kata Pengarah Perkhidmatan Perubatan MOH, Profesor Madya Kenneth Mak, pada sidang akhbar Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian mengenai COVID-19 di sini.

Iklan
Iklan

Dalam satu kenyataan berasingan, kementerian itu memaklumkan bahawa Jawatankuasa Kerja Khas Singapura-Malaysia membincangkan pelan mitigasi bersama bagi memastikan pergerakan rakyat, barangan dan perkhidmatan yang selamat dan berterusan antara kedua-dua negara.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional Teo Chee Hean bersama Menteri Kanan dan Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.

Iklan

Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara selama 14 hari bermula hari ini yang meliputi, antara lain sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara serta sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke Malaysia.

Sementara itu, berikutan peningkatan risiko kemasukan kes luar COVID-19 ke Singapura, republik itu akan mengenakan kawalan sempadan tambahan dan sekatan perjalanan bermula 20 Mac pada 11.59 malam.

Iklan

Menteri Pembangunan Negara Singapura Lawrence Wong berkata mereka yang memasuki Singapura dari semua negara akan diberikan Notis Duduk Di rumah (SHN) selama 14 hari.

Wong yang juga Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian mengenai COVID-19 berkata demikian pada sidang akhbar yang sama bagi memaklumkan perkembangan terkini wabak berkenaan di republik itu hari ini.

Mereka yang memasuki negara itu perlu memberi bukti tempat di mana mereka akan tinggal bagi memenuhi SHN 14 hari, contohnya tempahan hotel yang merangkumi keseluruhan tempoh, atau tempat kediaman mereka atau ahli keluarga mereka sendiri. -Bernama