PETALING JAYA - Polis Selangor melancarkan Ops Covid-19 hari ini bagi memastikan masyarakat di negeri ini mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula hari ini sehingga 31 Mac.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, seramai 27 pegawai 81 anggota terlibat dalam operasi yang bermula pada jam 6 petang.
"Kita melakukan pemeriksaan ke atas premis dan kawasan tumpuan orang ramai serta sekatan jalan raya di sekitar Shah Alam dan Petaling Jaya.
"Buat masa ini kita memberi nasihat kepada mereka dan berharap mereka memahami situasi semasa terhadap perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan," katanya.
Menurutnya, pihaknya turut menemui beberapa orang ramai yang masih berkumpul di premis termasuk kedai makan, restoran mamak serta bengkel motosikal dan kedai vape yang menjalankan operasi perniagaan.
"Kita telah menasihatkan mereka untuk menutup premis dengan segera atau menghadapi tindakan tegas pada masa akan datang," katanya.
Dalam kenyataan Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed sebelum ini memaklumkan orang ramai supaya tidak mengunjungi kawasan tumpuan dan sentiasa berada di rumah dalam tempoh yang diwartakan kecuali hal melibatkan kecemasan.
Beliau turut menasihati orang ramai juga perlu menghentikan aktiviti sosial dan pergerakan di luar rumah yang tidak perlu serta tidak menghadiri mana-mana majlis atau perhimpunan.