KUANTAN - Duduk di rumah. Ini bukan masa bersiar-siar! Tegas Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan ketika operasi sekatan jalan raya di Jalan Tanjung Lumpur di sini malam tadi.
Abd Jalil berkata, polis Pahang kecewa apabila orang ramai tidak serius dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Menurutnya, operasi sekatan jalan raya yang dilaksanakan di 44 lokasi seluruh Pahang malam tadi mendapati masih ramai keluar rumah dan berada di atas jalan raya tanpa sebab munasabah.
"Mereka berada di atas jalan raya tanpa sebab. Kami kecewa kerana orang ramai di daerah Kuantan telah sedia maklum mengenai larangan ini.
"Orang ramai perlu berada di rumah ketika siang atau malam. Hanya 14 hari sahaja. Duduk di rumah. Ini bukan masa bersiar-siar atau nak tengok keadaan waktu malam ketika Covid-19," katanya kepada pemberita ketika operasi malam tadi.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Kuantan, Mohamad Noor Yusof Ali.
Abd Jalil berkata, hanya individu dengan tujuan yang kukuh sahaja boleh berada di atas jalan raya pada sebelah malam seperti mendapatkan rawatan hospital, membeli makanan (jika terdesak) dan kecemasan sahaja.
"Gunakan masa yang ada untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Ingatlah bahawa data 1 April yang akan menentukan sama ada dua minggu kawalan ini berjaya atau gagal. Jika berjaya, kawalan dihentikan, jika gagal, langkah lebih drastik akan dibuat oleh kerajaan," tegasnya.
Sekatan jalan raya akan dilaksanakan di 44 lokasi di seluruh negeri selama selama dua minggu bermula malam tadi bagi mendidik masyarakat supaya patuh arahan kerajaan.
"Hari pertama operasi, kita tidak akan mengemukakan sebarang tindakan undang-undang sebaliknya hanya menasihati dan meminta orang ramai berada di rumah. Ini sebagai amaran terlebih dahulu. Hari seterusnya, tindakan lebih tegas akan dibuat," katanya.
Perintah Kawalan Pergerakan bermula semalam hingga 30 Mac depan.