KUANTAN - Lima anggota dan dua pegawai polis Pahang disyaki mempunyai simptom Covid-19 kini sedang dikuarantin di rumah.
Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, mereka dikuarantin dalam tempoh 14 hari di kediaman di Pekan dan Temerloh.
Iklan
Iklan
"Anggota di Pekan sudah dikuarantin sejak tiga hari lepas manakala pegawai di Temerloh dikuarantin mulai semalam. Mereka semua berada di bawah jagaan Ketua Polis Daerah dengan menyediakan khidmat penghantaran makanan dan minuman di rumah.
"Mengikut rekod mereka memang pernah bersemuka dengan seorang pesakit yang positif Covid-19 yang juga kakitangan awam di Pekan.
"Susulan simptom tersebut, polis mengarahkan anggota dan pegawai lain yang mempunyai kontak dengan mereka ini menjalani ujian saringan Covid-19. Alhamdulillah, negatif," katanya pada sidang akhbar Sekatan Jalan Raya di Jalan Tanjung Lumpur malam tadi.
Abd Jalil turut menasihatkan semua anggotanya menjaga kebersihan diri masing-masing.
"Begitu juga anda petugas media. Anda juga terdedah dengan risiko jangkitan justeru dapatkan rawatan jika jatuh sakit,” katanya.