Warga emas dibunuh, dirompak pembantu rumah

Iklan
Ayob Khan Mydin Pichay (kanan) menunjukkan suspek suami isteri yang dipercayai terlibat dalam kes bunuh dan rompak selepas sidang media di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.
JOHOR BAHRU : Perasaan dendam dan tidak puas hati dipercayai mendorong pasangan suami isteri warga Indonesia membunuh sebelum merompak majikannya yang merupakan warga emas di sebuah rumah di Kulai, dekat sini semalam.

Dalam kejadian berkenaan, wanita berusia 73 tahun itu ditemukan cedera di kepala selain kenderaan mangsa jenis Totoya Alphard putih serta barang-barang kemas dilarikan pasangan tersebut.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pichay berkata, kejadian itu disedari anak mangsa selepas mangsa tidak menjawab panggilan telefon.

"Anak mangsa dan jiran kemudian menghubungi pihak polis sebelum kereta peronda (MPV) polis yang kemudiannya mendapati mangsa sudah meninggal dunia. Terdapat kecederaan di bahagian kepala mangsa.

"Setakat ini suspek yang terlibat dikenal pasti sebagai suami isteri warga Indonesia bekerja sebagai pembantu rumah dan menetap bersama mangsa," katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati dendam dan tidak puas hati menjadi motif utama pasangan tersebut yang baru 10 hari bekerja dengan mangsa.

Setakat ini katanya, pihak polis masih menyiasat harta benda lain yang hilang kerana rumah berkenaan didapati digeledah suspek.

Ayob Khan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya segera menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan dengan menghubungi Asisten Supritendan Nazrol Bongsu menerusi talian 013-8958288 atau Asisten Superitendan Wee Hock Lian (019-7958088).