SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengumumkan pemberian Insentif Khas Kewangan atau bonus sebulan kepada penjawat awam di negeri ini ketika membentangkan Bajet Selangor 2019, hari ini.
Menurutnya, pemberian bonus berkenaan adalah sebagai satu rangsangan supaya kakitangan awam di negeri ini dapat melonjakkan lagi prestasi mereka.
"Alhamdulillah sepanjang lima bulan ini saya memikul amanah sebagai menteri besar, saya berasa terharu dengan sokongan serta dukungan penjawat awam.
"Justeru untuk rangsangan supaya para penjawat awam melonjakkan lagi prestasi mereka, bantuan khas kewangan tambahan satu bulan gaji akan dibayar pada 20hb Disember ini memberi implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM 34.53 juta,” katanya.
Menerusi pembentangan Bajet 2018 lalu, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan pemberian bonus tiga bulan kepada penjawat awam negeri ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Penjawat awam Selangor dapat bonus tiga bulan]
Malah pada April lepas, Mohamed Azmin pernah memaklumkan bahawa Kerajaan Selangor menjangkakan akan memberi sekurang-kurang tiga bulan atau lebih tiga bulan bonus sekiranya terus diberi peluang mentadbir negeri ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Bonus tiga bulan atau lebih jika terus Tadbir Selangor]
Mengulas lanjut, Amirudin yang juga Adun Sungai Tua berharap penjawat awam di Selangor dapat meningkatkan keazaman untuk menunaikan tanggungjawab dan kecekapan mentadbir bagi menjadi inspirasi kepada beliau untuk berusaha lebih kuat demi rakyat dan negeri ini.
"Saya dan pimpinan negeri berikrar dalam Dewan Yang Mulia ini untuk memastikan Selangor terus unggul sebagai sebuah negeri kosmopolitan yang sentiasa maju ke hadapan, berupaya berentap di rantau Asia Tenggara dan teguh prihatin dengan nasib rakyat memerlukan pembelaan,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan bahawa Kerajaan Selangor tidak mempunyai masalah untuk meningkatkan jumlah pemberian bonus pada masa akan datang.
Namun begitu, beliau berkata pemberian itu akan dinilai berdasarkan prestasi agensi dan individu terlibat.