'Boleh beli barangan keperluan, tapi cepat balik rumah'

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Nasihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam supaya 'duduklah diam-diam di rumah' tidak harus diperlekehkan rakyat Malaysia dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 dalam negara.

Pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini jelas bertujuan mengurangkan pergerakan, malangnya, tinjauan Bernama mendapati segelintir masyarakat seolah-olah degil apabila masih ada yang kelihatan melengah-lengahkan masa ketika berbelanja di pasar raya.

Iklan
Iklan

Oleh itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia Mohd Yusof Abdul Rahman menasihatkan orang ramai supaya apabila pergi membeli barangan keperluan, mereka perlu membuat perancangan pembelian yang baik.

"Tak salah keluar membeli di pasar raya dan kedai runcit, tetapi buatlah senarai barangan yang mahu dibeli dari rumah untuk singkatkan masa dalam pasar raya.

Iklan

"Dengan cara ini, kita boleh kurangkan pergerakan. Buat senarai, ambil barang, terus bayar dan balik ke rumah," katanya kepada Bernama.

Selain itu, beliau berpandangan orang ramai disarankan untuk tidak membawa bersama ramai anggota keluarga untuk membeli barangan.

Iklan

"Sepatutnya apabila pergi ke pasar raya tak perlu pergi ramai-ramai. Cukuplah sekadar seorang atau dua orang. Ini bukan masanya untuk bersiar-siar bersama keluarga," tegasnya.

Mengenai urusan pembayaran pula, Yusof turut menggalakkan orang ramai untuk membuat pembayaran tanpa tunai yang dilihat lebih selamat dari sudut penularan virus itu.

"Saya sarankan gunakan kad untuk pembayaran daripada wang tunai sebab kita tak tahu sama ada wang itu sudah bertukar tangan dengan siapa.

"Ketika membuat pembayaran, pemakaian topeng muka penting kerana penjarakan sosial satu meter mungkin sukar diamalkan di kaunter pembayaran," katanya. - Bernama