SHAH ALAM - Sejak Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa semalam, ramai jurulatih kecergasan dan bina badan berkongsi di media sosial mengenai cara melakukan senaman di rumah agar orang ramai kekal aktif.
Situasi ini bukan hanya berlaku di Malaysia malah di beberapa negara lain yang turut terjejas akibat penularan Covid-19.
Jurulatih kecergasan yang juga pengendali saluran YouTube Hasfit, Joshua Kozak mencadangkan ibu bapa menggunakan anak kecil mereka sebagai pemberat ketika senaman tetapi perlu berhati-hati.
"Anak kecil ini berfikir bahawa anda hanya bermain dan menghabiskan masa bersama mereka tetapi pada masa sama anda dapat melakukan senaman.
"Biarkan anak-anak lain turut sama melakukan semua gerakan senaman dan tambahkan muzik kegemaran mereka,” katanya melalui portal The Atlantic.
Selebriti kesihatan dan kecergasan Malaysia, Kevin Zahri pula berkongsi beberapa senaman sebagai rutin harian dengan menyahut cabaran kekal di rumah bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Kevin mengambil inisiatif berkongsi dengan orang ramai cara melakukan senaman melalui siaran langsung di Facebook dan Instagram selama 30 minit.
Katanya, siaran langsung senaman di rumah akan diadakan setiap hari pada jam 10 pagi yang bermula semalam sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang berakhir 31 Mac ini.
Kevin turut ditemani dua anaknya yang bersama-sama melakukan senaman membabitkan tujuh pergerakan mudah.
"Senaman seluruh badan ini tidak melibatkan ruang besar di rumah. Ada kawan-kawan saya yang melakukan melakukan zumba untuk kekal aktif dalam tempoh ini," katanya kepada Sinar Harian.
Kevin berkata, senaman di rumah sesuai dilakukan dalam tempoh tidak melebihi 60 minit dan senaman bergantung kepada pilihan masing-masing.
Beliau turut menasihat supaya memilih makanan berkhasiat kerana keberadaan di rumah akan mendorong seseorang untuk kerap makan.
"Cabaran besar berada lama dalam rumah adalah bosan. Kita akan kerap mencari makanan yang 'menggembirakan'... Kalau asyik makan tapi kurang pergerakan, kawalan berat badan sangat susah.
"Makanan yang saya syorkan seperti kekacang, lobak merah dan buah-buahan yang ada bunyi apabila dikunyah. Bunyi makanan dikunyah secara psikologinya memberi kenyang nafsu untuk makan," katanya.
Kevin berkata, pengambilan kerepek dan keropok tidak digalakkan kerana berkalori tinggi selain tidak mengenyangkan.
Beliau turut menasihatkan supaya tidur mencukupi dan tidak terlalu lama bagi mengelak badan lemah selain mengurangkan menonton televisyen dan melihat telefon bimbit terlalu lama kerana mata akan stres dan sakit kepala.
"Manfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan meluangkan masa bersama keluarga melakukan aktiviti seperti bersenam, memasak dan belajar.
Katanya, mengekalkan sistem imunisasi badan penting sebagai langkah berjaga-jaga untuk berdepan dengan wabak Covid-19.
Sementara itu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi laman Twitter berkongsi beberapa senaman di samping menyahut cabaran Kementerian Belia dan Sukan Work At Home #Kbswahchallenge.
Antaranya lompat bintang, tekan tubi, bangkit tubi, squat, berdiri di atas kerusi, dan lain-lain dengan menggunakan peralatan sedia ada di rumah seperti kerusi.
Beliau turut berkongsi senaman oleh Institut Sukan Negara (ISN) membabitkan beberapa pergerakan yang boleh membantu menguatkan otot, meningkatkan stamina sekali gus mengekalkan kecergasan tubuh dan bertenaga.
"Bagi yang stay (duduk) kat rumah tu, cuba-cuba la bersenam juga okay. Ada je exercise (senaman) yang kita boleh buat di rumah, InshaALLAH,” katanya.