BUKIT MERTAJAM - Nelayan digalakkan untuk terlibat dalam perniagaan yang berasaskan perniagaan hiliran dalam usaha untuk menjana pendapatan sampingan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Faiz Fadzil berkata, industri perikanan bukan hanya fokus kepada menangkap ikan namun boleh dikembangkan dengan menjalankan perniagaan memproses makanan laut.
"Jadi kita mahu nelayan meningkatkan pendapatan dan menggalakkan mereka melakukan perniagaan hiliran yang sebenarnya dekat dengan mereka kerana hasil tangkapan boleh gunakan untuk proses produk makanan untuk dijual.
"Dalam masa sama LKIM sentiasa membantu nelayan untuk menjana pendapatan sampingan untuk menaik taraf kehidupan,” katanya dalam sidang media ketika hadir merasmikan pembukaan Kedai Catalog di sini, hari ini.
Menurutnya, kerajaan menggalakkan agro makanan diusahakan dengan memberikan pelbagai insentif termasuk peruntukan belanjawan kira-kira RM52 juta.
"Terbaru Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menawarkan satu produk baru iaitu agro pornio muda. Ini sekali gus memberikan peluang bantu meningkatkan pendapatan mereka dengan terlibat dalam perniagaan hiliran.
"Bukan berhenti untuk menjadi nelayan, tidak, namun sebagai tambahan pendapatan kerana hasil tangkapan mereka itu mereka manfaatkan, guna sepenuhnya hasil itu secara maksimum dan itu yang kita sarankan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya kerajaan tidak pernah meminggirkan kebajikan nelayan termasuk meneruskan pemberian elaun bagi meringankan beban nelayan yang kadangkala terjejas akibat cuaca, laut bergelora.