Tolak ICERD tindakan tepat: MB Pahang

Iklan
Wan Rosdy Wan Ismail
KUANTAN - Kerajaan Pahang menyifatkan keputusan kerajaan Pusat untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) adalah tindakan tepat.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ternyata bantahan yang dibuat oleh banyak pihak terhadap isu ini membuatkan kerajaan memberi respons yang positif.

"Kita menyambut baik pengumuman itu dan berharap isu ICERD tidak lagi timbul pada masa akan datang. Ternyata, bantahan terhadap isu ini (ICERD), termasuk usul mengenainya yang diluluskan sebulat suara pada persidangan Dun Pahang Rabu lalu, mendapat respons positif.

"Jadi, kita berpegang kuat kepada pengumuman ini dan berharap tidak akan ada lagi mana-mana pihak perjuangkan usaha bagi mengesah atau meratifikasikannya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui satu kenyataan media hari ini menyatakan pendirian Kabinet bahawa kerajaan PH tidak akan meratifikasi ICERD.

Dr Mahathir berkata, PH akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang mengandungi kontrak sosial seperti dipersetujui semua kaum ketika penubuhan negara ini.

Wan Rosdy dalam pada itu berharap semua pihak menyambut baik pengumuman itu.

"Sebolehnya, kita menghormati keputusan yang sudah dibuat kerajaan Pusat berhubung isu berkenaan,” katanya.