PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, mengekalkan pembebasan seorang pakar bedah jantung yang berkhidmat di sebuah hospital awam terhadap tuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya, empat tahun lepas.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki yang mengetuai panel tiga hakim berkata, panel hakim mendapati tiada merit dalam rayuan yang dikemukakan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Prof Dr Raja Amin Raja Mokhtar, 57.
"Keputusan mahkamah bawahan (Mahkamah Majistret) dikekalkan, rayuan ini ditolak,” kata Mohtarudin yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Berhubung penemuan kredibiliti saksi yang diputuskan Mahkamah Majistret, Mohtarudin berkata, kredibiliti saksi adalah di bawah tanggungjawab Mahkamah Majistret untuk menentukannya.
"Penemuan fakta kredibiliti saksi tidak boleh diganggu sehingga dan jika ada bukti yang lemah, yang kami dapati negatif. Oleh itu kami tidak mempunyai alasan untuk campur tangan (keputusan Mahkamah Majistret),” katanya.
Panel hakim membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Abdul Razak Ismail yang mewakili Dr Raja Amin dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azmi Mashud dan Ahmad Sazilee Ahmad Khairi.
Ini adalah rayuan terakhir pendakwaan kerana kes yang didengar di Mahkamah Majistret, akan berakhir di Mahkamah Rayuan.
Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan Dr Raja Amin terhadap pertuduhan mencederakan Karina Idris Ahmad Shah, yang kini berusia 50 tahun (sekarang bekas isteri) tanpa memanggil membela diri.
Dia melakukan kesalahan itu di satu alamat di Persiaran Ara Bangsar di sini pada 1.30 pagi, 9 Mac 2015 dan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada 9 Jun 2015, Dr Raja Amin, yang mempunyai lima anak, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur.
Beliau yang diiringi dua anggota keluarganya, dilihat bercakap dengan peguam selepas mahkamah menyampaikan keputusannya. - Bernama