Tiada solat Jumaat di semua masjid hari ini - Zulkifli

Iklan
Zulkifli. Foto Sumber Internet

PUTRAJAYA - Semua masjid di seluruh negara diarahkan untuk tidak mengadakan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi membantu negara untuk memutuskan rantaian virus Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac ini di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19, solat Jumaat tidak diadakan hari ini.

Iklan
Iklan

"Patuhilah arahan yang dikeluarkan dan gantilah solat Jumaat dengan solat Zuhur di rumah masing-masing bersama keluarga,” katanya dalam khidmat pesanan awam yang disiarkan di televisyen malam tadi.

Beliau yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, arahan tersebut selari dengan langkah yang diambil di beberapa negara Islam lain, seperti Arab Saudi dan Kuwait.

Iklan

"Hampir keseluruhan bersetuju dalam kes seperti ini dan semua pihak hendaklah mematuhi perintah yang ditetapkan pemerintah. Sekali lagi pesan saya, solatlah Zuhur di rumah, insya- ALLAH ada hikmahnya,” katanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara, bagi mengekang penularan Covid-19.

Iklan

Sementara itu, Kesatuan Ulama Sedunia mengeluarkan fatwa hukum penangguhan solat Jumaat adalah diharuskan susulan penularan wabak Covid-19 yang kini diisytiharkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai pandemik.

Laporan berita antarabangsa Al-Jazeera berkata, fatwa itu terpakai kepada semua negara yang berdepan penularan wabak itu ekoran perkembangan terbaharu yang semakin membimbangkan di seluruh dunia.

Fatwa penangguhan itu difahamkan turut terpakai untuk solat berjemaah secara am dengan penangguhannya akan ditentukan pihak berkuasa.

Pautan laporan berkenaan turut dikongsi beberapa pemimpin politik dan figura agama kebangsaan seperti Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam laman sosial Facebook.

"Persatuan Ulama Dunia yang menyeru seluruh kaum Muslimin di negara yang mula tersebar Covid-19 menghentikan solat Jumaat dan solat jemaah,” kata Dr Mohd Asri melalui hantaran Facebooknya.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada 13 Mac mengumumkan bahawa solat Jumaat digantikan dengan Zuhur yang dikerjakan di rumah.