Gaji penjawat awam Pulau Pinang dibayar hari ini - KM

Iklan
Chow Kon Yeow

GEORGETOWN- Pembayaran gaji bagi kakitangan awam Pulau Pinang untuk bulan Mac, dibuat hari ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan sejak tiga hari lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pembayaran gaji bagi bulan Mac, diawalkan lima hari dari tarikh pembayaran asal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keputusan itu dibuat sebagai penghargaan selain untuk membantu golongan penjawat awam Pulau Pinang berhadapan dengan tempoh kesulitan itu.

"Saya mewakili kerajaan negeri ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan awam termasuk kakitangan pembersihan, penguat kuasa dan pegawai yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan penting.

Iklan

"Sebagai penghargaan dan demi membantu golongan penjawat awam Pulau Pinang berhadapan dengan tempoh kesulitan ini, kerajaan negeri telah memutuskan untuk membuat bayaran gaji bagi bulan Mac lebih awal iaitu pada hari ini," katanya pada sidang akhbar secara langsung menerusi Facebooknya, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow memaklumkan, beliau telah dijemput untuk menghadiri Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Putrajaya yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada jam 3 petang ini dan beliau akan membangkitkan empat perkara untuk dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

Iklan

"Pertama, saya meminta kerajaan Pusat melaksanakan penguatkuasaan lebih ketat berhubung operasi kilang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Ini kerana, industri pembuatan merupakan antara industri utama bagi Pulau Pinang.

"Tanpa perincian lengkap, ramai yang masih keliru dengan panduan penutupan serta pengecualian penutupan kilang. Kedua pula, saya akan memohon kerajaan Pusat memastikan segala peralatan perubatan mencukupi untuk semua hospital serta klinik kerajaan di Pulau Pinang," katanya.

Katanya lagi, beliau juga akan membangkitkan isu kesukaran untuk mendapatkan bekalan topeng muka, termometer, sanitizer dan kelengkapan keselamatan lain diperlukan pengamal perubatan swasta serta orang awam.

"Bagi topeng muka, saya akan mengesyorkan supaya kerajaan Pusat mengenakan kuota eksport serta subsidi kepada pengilang tempatan agar pengeluaran boleh memenuhi keperluan domestik. Oleh itu, saya akan memohon supaya kerajaan Pusat membekalkan stok barangan tersebut kepada semua kerajaan negeri untuk diagihkan kepada beberapa sektor yang memerlukan.

"Saya juga akan mendapatkan status permohonan kerajaan negeri berhubung peruntukan RM30 juta daripada Pakej Rangsangan Ekonomi yang dibentangkan sebelum ini," katanya.

Kon Yeow berkata, Kerajaan Pulau Pinang antara kerajaan negeri pertama menyahut usaha kerajaan Pusat untuk bekerjasama dalam menghadapi Covid-19.

"Tiada tempat bagi istilah perbezaan politik pada waktu genting ini. Pulau Pinang akan mengetepikan segala persaingan politik dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha melawan Covid-19 bagi melindungi semua rakyat," katanya.