KUANTAN - Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kuipsas) menyediakan makanan dan keperluan asas kepada pelajar yang masih berada di asrama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini.
Seramai 80 pelajar termasuk dari Sabah dan Sarawak terkandas di asrama kerana tidak sempat pulang ke kampung masing-masing sebelum perintah itu dikuatkuasakan.
Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Kuipsas, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, Kuipsas menyediakan makan tengah hari untuk pelajar yang terpaksa terus tinggal di asrama sepanjang tempoh itu.
"Sepanjang tempoh ini juga, Kuipsas turut menyediakan kenderaan untuk pergerakan pelajar bagi mendapatkan keperluan asas di pasar raya.
"Kita juga turut memantau keadaan kesihatan mereka bagi memastikan semua berada dalam keadaan sihat.
"Jika ada yang kurang sihat, mereka akan segera dibawa ke klinik untuk pemeriksaan dan mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Dr Asmadi berkata, bantuan yang dihulurkan itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban sekali gus kebajikan mereka tidak terabai dalam situasi yang agak mencemaskan ketika ini.
"Selain pelajar dari Sabah dan Sarawak, kebanyakan pelajar lain terkandas kerana kehabisan tiket pengangkutan awam untuk pulang ke kampung masing-masing dan ada yang menunggu untuk dijemput keluarga.
"Bagaimanapun, selepas Perintah Kawalan Pergerakan ini dikuatkuasakan dan akur dengan arahan pihak Kementerian Pengajian Tinggi, semua pelajar ini tidak dibenarkan pulang dan terpaksa berada di asrama sepanjang tempoh tersebut," katanya.
Beliau berkata, pelajar-pelajar luar atau mereka yang sudah pulang ke kampung juga tidak dibenarkan kembali ke asrama atas apa tujuan sekali pun dalam tempoh itu.
Dr Asmadi berkata, pelajar juga diingatkan agar sentiasa memakai penutup muka dan kerap mencuci tangan bagi mencegah jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).