Topeng muka, cecair pembasmi kuman habis stok!

Iklan
Pemilik farmasi terpaksa menampal notis di pintu masuk farmasi untuk memaklumkan kepada pelanggan bahawa bekalan topeng muka dan cecair pembasmi kuman kehabisan stok.

SHAH ALAM – Jualan topeng muka dan cecair pembasmi kuman di beberapa farmasi di sekitar Shah Alam dan Klang laris hingga kehabisan stok sejak beberapa bulan lalu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati pemilik farmasi terpaksa membuat tempahan lebih awal sehingga bekalan baru masuk memandangkan permintaan tinggi dan pembelian secara panik daripada orang ramai.

Iklan
Iklan

Ada juga farmasi yang meletakkan notis di pintu masuk untuk memaklumkan pelanggan bahawa barangan berkenaan telah kehabisan stok.

Seorang jurucakap sebuah farmasi di Bukit Tinggi, Klang yang ingin dikenali sebagai May berkata, topeng muka serta cecair pembasmi kuman putus bekalan sejak sebulan lalu sejak peningkatan wabak koronavirus (Covid-19).

Iklan

"Kami tempah dalam 200 kotak (topeng muka) pun habis dijual. Untuk 'hand sanitizer', kita tempah dalam 20 botol dan ini juga habis tak kira saiz kecil atau besar,” katanya.

Menurutnya, ada pelanggan mendakwa pihak farmasi sengaja menyimpan barangan itu, namun hakikatnya ia habis dijual berikutan permintaan tinggi.

Iklan

"Sekarang bekalan memang terhad. Kami juga kehabisan stok dan masih menunggu bekalan daripada pembekal,” katanya.

Bekalan topeng muka dan cecair pembasmi kuman kehabisan sejak berlaku wabak Covid-19 di negara ini.

Sementara itu, petugas sebuah farmasi di Shah Alam yang enggan dikenali berkata, sebelum ini hanya pengguna tertentu sahaja yang datang membeli barangan berkenaan.

"Sejak ada wabak Covid-19, kami kehabisan bekalan beberapa bulan lalu. Memang setiap hari pelanggan datang dan pulang dengan hampa sebab bekalan memang terputus.

"Sebab itu kami terpaksa menampal notis di pintu masuk farmasi untuk memaklumkan kepada pelanggan bahawa bekalan barangan itu kehabisan stok,” katanya.

Dalam pada itu, dia turut menasihatkan orang ramai supaya tidak hanya bergantung kepada topeng muka dan pembasmi kuman, sebaliknya kerap mencuci tangan.

"Jika tidak mempunyai 'hand sanitizer' pengguna juga boleh menggunakan ‘alkohol-pack’ untuk membersihkan tangan sebagaimana penggunaan pencuci tangan biasa,” katanya.

Selain itu katanya, pengeluar topeng muka perlu merancang dengan baik bagi memastikan bekalan dapat diagihkan sebaik mungkin terutama di negeri yang terjejas dengan wabak tersebut.