KUALA TERENGGANU- Walaupun sudah masuk hari kedua pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, namun masih ada segelintir orang ramai di bandaraya ini yang ingkar arahan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, masih ada orang ramai yang mengambil ringan terhadap perintah tersebut yang dikuatkuasakan oleh kerajaan untuk mengekang penularan koronavirus (Covid-19).
"Kenderaan yang ditahan majoritinya dipenuhi penumpang dan semasa ditanya, rata-rata mereka memberi alasan remeh dan tidak munasabah seperti kononnya keluar untuk membeli makanan tetapi 'angkut' semua ahli keluarga.
"Ada juga memberi alasan ingin menziarahi saudara sakit dan membeli barang keperluan yang kita anggap terlalu remeh dan sewajarnya alasan tersebut tidak lagi digunakan kerana hari ini (semalam) sudah masuk hari kedua perintah tersebut berkuatkuasa.
"Sekali lagi diingatkan kepada orang awam, supaya jangan keluar jika tiada keperluan penting atau kecemasan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Ops Covid, di Plaza Padang Negara, Jalan Batu Buruk, di sini, malam tadi.
Abdul Rahim berkata, kemungkinan orang ramai tidak menyedari bahawa pergerakan mereka sebenarnya memudahkan penularan Covid-19.
Sekatan jalan raya sempena Perintah Kawalan Pergerakan itu dijalankan serentak di seluruh negeri ini bermula jam 9 malam sehingga 12 tengah malam. Sekatan jalan raya akan diadakan selama 24 jam di laluan tumpuan sehingga 31 Mac ini," katanya.